15 March 2011

Pura-pura tawar pertolongan

KUALA LUMPUR: Penahanan seorang lelaki berusia 30-an membongkar rahsia satu sindiket mencuri kereta dan samun yang bergiat aktif di sekitar Subang Jaya dan Serdang, sejak enam bulan lalu.

Sindiket terbabit dilaporkan menggunakan alat baik pulih tayar untuk memancitkan tayar kenderaan mangsa sebelum berpura-pura tampil menghulurkan bantuan. Kesempatan itu digunakan kumpulan terbabit untuk menyamun serta melarikan kereta berkenaan. Difahamkan, sindiket ini dianggotai individu terlatih kerana mereka memiliki kemahiran untuk menghidupkan kenderaan dengan hanya menggunakan palam pencucuh.


Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, hasil aduan seorang eksekutif wanita petang kelmarin, tindakan pantas pihaknya membuahkan hasil apabila dapat menahan seorang lelaki di kawasan Batu 14, Puchong.


“Berdasarkan aduan mangsa berusia 46 tahun itu, suspek bersama seorang lagi ahli sindiket berpura-pura menawarkan pertolongan selepas melihat kenderaan mangsa terbabas berdekatan selekoh Putra Heights.


“Suspek hanya menunggu dalam kereta Satria berwarna biru manakala seorang lagi rakannya menghampiri mangsa sebelum menyamun mangsa namun mereka tidak sempat untuk melarikan kenderaan mangsa,” katanya pada sidang media, semalam.


Katanya, ketika anggota MPV Putra Heights membuat rondaan di kawasan Persiaran Indah kira-kira jam 3.30 pagi, mereka menemui kenderaan yang sama dalam kenderaan mencurigakan dipercayai sedang menunggu mangsa baru.

Menurutnya, selepas suspek menyedari kehadiran polis, dia memecut laju menghala ke Puchong sebelum melanggar tembok plaza tol di lorong ‘Touch N Go’ di lebuh raya berdekatan namun, hasil tindakan pantas tiga anggota MPV terbabit dengan bantuan unit peronda lain, suspek ditahan di kawasan Batu 14 Puchong selepas mengejarnya sejauh 10 kilometer (km).


“Pemeriksaan lanjut ke atas suspek mendapati, dia positif dadah jenis syabu dan mempunyai satu rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah.

“Turut ditemui sebuah beg jenama Polo milik mangsa yang mengandungi peralatan jenayah suspek termasuk alat baik pulih tayar pancit, palam pencucuh untuk menghidupkan kenderaan, pemutar skru, 11 penyedut minuman dan empat paket dadah jenis syabu seberat 2.4 gram,” katanya. - mymetro

No comments:

Post a Comment