JOHOR BAHRU: Berang diperdaya selepas remaja yang mencuri motosikalnya di Jalan Camar 12, Taman Perling di sini, Sabtu lalu hanya mengembalikan rangka dan tayar kenderaan itu, seorang lelaki membuat laporan polis sebelum suspek akhirnya dapat diberkas.
Lebih menyakitkan hati mangsa, rangka motosikal Yamaha SS itu diambil semula selepas dihumban ke longkang di Taman Puteri Wangsa sebelum diserahkan kepadanya.
Jurucakap polis berkata, susulan menerima aduan mangsa, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Perling melakukan beberapa serbuan sekitar Taman Puteri Wangsa sebelum menahan empat remaja lelaki berusia antara 14 hingga 18 tahun.
“Seorang daripada remaja terbabit mengaku melarikan motosikal berkenaan selepas menghidupkan enjin menggunakan kunci motosikal miliknya.
“Remaja itu memberi alasan melakukan perbuatan itu hanya suka-suka dan mahu mencuba benda baru,” katanya, semalam.
Jurucakap itu berkata, ketika ditahan, remaja terbabit turut cuba mengelirukan polis dengan mendakwa tidak mencuri motosikal, sebaliknya membeli daripada individu tidak dikenali.
Katanya, remaja terbabit mendakwa didatangi individu tidak dikenali sebelum menawarkan motosikal berkenaan pada harga RM100, namun siasatan lanjut mendapati alasan tidak masuk akal itu hanya sekadar helah bagi mengelak dicekup.
“Kumpulan itu akhirnya mengaku meleraikan komponen motosikal berkenaan dipercayai untuk digunakan sebagai alat ganti sebelum melupuskan rangkanya.
Bagaimanapun, selepas pemilik asal berjaya mengesan mereka, kumpulan remaja terbabit mengeluarkan kembali rangka motosikal itu dari dasar longkang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Kami sedang mengesan dalang sebenar bagi membantu menyelesaikan kes itu dan remaja terbabit sudah direkodkan keterangannya sebelum dibebaskan.
“Pada masa sama, orang ramai terutama ibu bapa dinasihatkan mengawasi anak mereka bagi memastikan tidak terbabit aktiviti negatif,” katanya. - Mymetro
No comments:
Post a Comment