26 March 2011

Padah nak jimat kos


PUTRAJAYA: Tindakan sebuah kolej swasta di Klang untuk menjimatkan wang dengan menggunakan perisian cetak rompak, mengundang padah apabila mereka berdepan kemungkinan didenda sehingga RM680,000 akibat kesalahan terbabit.

Ia berikutan rampasan sebanyak 34 salinan perisian yang dipercayai cetak rompak bernilai RM62,000 daripada kolej terbabit dalam satu serbuan yang dilakukan Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK), petang kelmarin.

Antara perisian yang ditemui ketika serbuan adalah Adobe After Effects CS4 dan Microsof Office 2003.

Dalam serbuan jam 2.20 petang itu, sekumpulan 10 anggota penguatkuasa KPDNKK yang diketuai pembantu penguatkuasa, Azmindar Md Shahlan turut merampas 15 komputer bernilai RM45,000.

Ketua Tugas Khas Bahagian Penguatkuasa KPDNKK, Fahmi Kasim, berkata serbuan itu dibuat hasil risikan anggota penguatkuasa selepas mendapat maklumat berhubung penggunaan perisian cetak rompak di kolej terbabit.

“Ketika serbuan, pihak pengurusan kolej berkenaan mengaku kononnya tidak tahu tindakan mereka menggunakan perisian cetak rompak adalah salah dan kami percaya itu hanya alasan untuk membebaskan diri.

“Kami juga percaya mereka menggunakan perisian terbabit kerana ia lebih murah berbanding perisian tulen, tanpa memikirkan kesan dan tindakan yang bakal dihadapi sekiranya ditahan pihak penguatkuasa,” katanya pada sidang media, semalam.

Hadir sama, Naib Presiden Jawatankuasa Business Software Alliance (BSA) Malaysia, Ronald Chua.

Fahmi berkata, semua perisian dan komputer yang dirampas dibawa ke ibu pejabat KPDNKK Putrajaya, manakala pihak pengurusan kolej terbabit dan syarikat yang membekalkan perisian cetak rompak itu akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (d), Akta Hakcipta 1987 iaitu memiliki salinan langgaran.

“Kita akan melengkapkan siasatan, sebelum merujuk kes ini kepada Timbalan Pendakwa raya bagi membolehkan mereka didakwa.

“Jika sabit kesalahan, pengurusan kolej dan syarikat berkenaan boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 atau minimum RM2,000 bagi setiap satu salinan perisian cetak rompak atau penjara tidak melebihi lima tahun,” katanya. - Mymetro

No comments:

Post a Comment