KUALA LUMPUR, 24 Mac — Ahli Majlis Fatwa Perlis Datuk Ahmad Jusoh menafikan beliau ada mengatakan menjadikan masjid sebagai lokasi akad nikah menyimpang amalan Rasulullah.
Sebaliknya beliau menegaskan, akad nikah di masjid bukan amalan Rasulullah dan oleh itu mana-mana pasangan yang mahu bernikah boleh memilih lokasi lain selain masjid.
Ahmad juga menegaskan, ketika itu beliau bercakap atas kapasiti Pengerusi Jawatankuasa Masjid Putra, Kangar dan bukannya selaku ahli Majlis Fatwa Perlis seperti dilaporkan media hujung minggu lalu.
“Ketika mesyuarat ada seorang imam beritahu kepada saya ada pasangan nak buat akad nikah di masjid, kemudian saya kata tidak perlu buat di masjid kerana di mana-mana pun boleh selagi cukup syarat nikah.
“Kemudian saya jelaskan kalau selalu buat di masjid kemungkinan ia akan menjadi satu upacara yang bertentangan ketika di zaman Rasulullah sebab ketika itu Rasulullah tidak pernah buat akad nikah di masjid.
“Rasulullah tidak pernah buat, jadi buat apa mesti kita nak buat tapi kalau nak buat itu tiada masalah kerana Rasulullah tidak pernah melarang mana-mana pasangan yang nak bernikah tidak boleh buat di masjid,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Jelas Ahmad, beliau bimbang sekiranya akad nikah di masjid menjadi amalan orang Islam ia akan menyamai perkahwinan penganut Kristian yang menikah dalam gereja dan Yahudi di rumah ibadat mereka.
“Kita agama Islam tiada jurunikah, yang ada hanya wali sahaja... saya cuma tak mahu nikah di masjid ini jadi satu amalan dan Rasulullah pernah mengingatkan umat Islam supaya tidak melakukan akad nikah dalam masjid kerana ia meniru penganut Kristian yang menikah dalam gereja dan Yahudi di rumah ibadat mereka.
“Nikah di masjid ini bukan amalan Rasulullah dan Rasulullah juga tidak pernah menikahkan anak perempuannya di masjid . . . begitu juga dengan para sahabat, kalau bukan amalan Rasulullah buat apa nak ikut, lagi pun bukan wajib untuk lakukan akad nikah di masjid,” katanya.
Menurut Ahmad, walaupun pernah berlaku peristiwa akad nikah dalam masjid pada zaman Rasulullah namun ia berpunca dari kehadiran seorang wanita ke dalam masjid yang mahu dirinya dikahwini.
“Itu hanya sekali sahaja Rasulullah melakukan akad nikah di dalam masjid, bagi saya kalau Rasulullah tak buat dan bukan jadi amalan Rasulullah buat apa kita mesti nak buat.
“Tapi kalau nak buat tiada masalah sebab Rasulullah tak larang cuma saya tidak galakkan, itu sahaja,” katanya.
Sabtu lalu Ahmad berkata menjadikan masjid sebagai lokasi akad nikah adalah menyimpang amalan Rasulullah.
Ahmad berkata adalah lebih baik akad nikah dilakukan di rumah pengantin.
Sementara itu Mufti Perlis Dr Juanda Jaya berkata apa yang berlaku sebenarnya salah faham yang mana wartawan tidak melaporkan kejadian yang sebenarnya berlaku.
Beliau juga berkata apa yang dikatakan Ahmad ketika itu adalah pandangan peribadi dan bukan mewakili Majlis Fatwa Perlis.
“Beliau (Ahmad) bercakap atas kapasiti pengerusi Masjid Putra dan ia adalah pandangan peribadi, wartawan yang membuat laporan itu tidak jujur kerana ketika itu beliau bercakap dalam mesyuarat masjid.
“Mungkin ketika itu beliau berpendapat tidak wajar akad nikah dilakukan di masjid setelah mengambil kira aspek-aspek lain, itu sahaja... ia sebenarnya hanya salah faham,” katanya.
Kata Juanda, Ahmad telah menjelaskan perkara yang sebenar dan bagi pihak Majlis Fatwa Perlis tiada larangan dibuat bagi mana-mana pasangan yang mahu melakukan akad nikah di masjid.
“Kita di Perlis tiada fatwa yang melarang akad nikah dilakukan di masjid, bahkan kita pernah melakukan perkahwinan secara besar-besar di masjid.
“Jadi ia tiada larangan, dan saya minta agar pihak yang melaporkannya bersikap jujur,” katanya.
Bagi Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abd Wahid, akad nikah di masjid boleh dilakukan oleh orang Islam dan tiada hadis mengatakan Rasulullah melarang perbuatan itu.
“Saya tak jumpa (dalam mana-mana hadis) Rasulullah melarang orang Islam bernikah di masjid, kalau Rasullullah melarang kenapa Rasulullah pernah menikahkan seorang wanita dan pasangannya di masjid.
“Kalau Rasulullah melarang sudah tentu Rasulullah tidak akan menikahkan pasangan itu. Adakah logik selepas menikahkan pasangan itu Rasulullah melarang pula bernikah di masjid.
“Kalau Rasulullah pernah buat walaupun tidak disebut (dilarang atau tidak) tapi Rasulullah pernah menikahkan pasangan di masjid, jadi bagi saya ia bukan dilarang sebaliknya boleh dikatakan harus,” katanya.
Jelas beliau, perbuatan menyamakan akad nikah di masjid dengan perkahwinan penganut Kristian di gereja dan Yahudi di rumah ibadat mereka dalah tidak wajar.
“Apa salahnya kalau bernikah di masjid? Ia lebih baik, nikah itu ibadah... perbuatan ibadah ini kalau dibuat di masjid lebih baik dan ia sebenarnya tiada halangan.
“Kenapa nak samakan nikah di masjid dengan perbuatan penganut Kristian dan Yahudi pula? Tidak wajar samakan ibadah dalam Islam termasuk bab nikah kahwin ini dengan perbuatan penganut Kristian dan Yahudi... kita ada cara tersendiri...tidak boleh disamakan dengan agama-agama lain,” katanya.
Mufti Kedah Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad pula berpendapat walaupun Rasulullah tidak mengamalkan akad nikah di masjid namun ia tiada masalah untuk melakukannya.
“Pandangan saya tiada masalah malah kita kalau nak berumah tangga mesti mahukan keadilan di samping permuafakatan (antara pasangan) kalau dibuat di masjid lebih baik.
“Islam menggalakkan kita mencari keberkatan dalam setiap perkara yang kita lakukan. Dengan kita bernikah di masjid sudah pasti berkat lebih berbanding di tempat lain kerana masjid itu tempatnya suci,” katanya.
Beliau berkata di Kedah tiada larangan akad nikah dilakukan di masjid.
“Di sini (Kedah) kita tidak ada larangan dan halangan untuk sesiapa bernikah di masjid sebaliknya kita galakkan mereka bernikah di masjid.
“Kalau nak disamakan dengan agama lain itu tidak wajar lagi pun tiada hadis yang melarang orang Islam bernikah di masjid,” katanya. - TMI
* Nikah di Masjid senang. Senang Imam nikah tak payah pusing jauh-jauh :) (Ibadah kena ikut cara yang nabi buat bukan ikut akal kita...)
No comments:
Post a Comment