02 March 2011

MB Selangor: BN usah pertikai, kami sudah laksana Buku Jingga

Tan Sri Khalid Ibrahim menangkis serangan Barisan Nasional (BN) kononnya pakej Buku Jingga tidak realistik atas alasan inisiatif-inisiatif digariskan adalah berdasarkan polisi dilaksanakan oleh kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Dengan merujuk kepada air percuma 20 meter padu yang diberikan kepada rakyat Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur meskipun berhadapan dengan pertikaian pengambilalihan industri air, Menteri Besar Selangor (gambar) berkata, “kami sudah pun melaksanakan pembaharuan-pembaharuan ini.”

Kepimpinan BN mendakwa kandungan Buku Jingga tidak realistik untuk dilaksanakan.

“Buku Jingga adalah berdasarkan pengalaman tiga tahun kami di kerajaan negeri dan kami akan melancarkan di Selangor untuk menjelaskan kepada orang ramai apa yang kami boleh laksanakan jika mengambil alih Putrajaya,” kata beliau selepas majlis pelancaran sempena program yang akan diadakan bagi menyambut ulang tahun ketiga bermula Sabtu ini.

Khalid juga berkata Buku Jingga adalah dasar bersama oleh Pakatan Rakyat yang menerajui empat negeri dan “bukannya sesuatu yang tidak berasas” sebagaimana didakwa oleh BN.

Malah kata beliau, air percuma 20 meter padu menunjukkan kebajikan rakyat telah diterjemahkan dalam bentuk dasar meskipun adanya tekanan pasaran ekoran penswastaan aset-aset air. - TMI

No comments:

Post a Comment