19 March 2011

Libya isytihar gencatan senjata elak tekanan PBB

Libya mengisytiharkan gencatan senjata hari ini — sehari selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi zon larangan terbang, yang turut boleh membawa kepada tindakan ketenteraan.

Malah kepimpinan Muammar Gaddafi (gambar) juga berjanji akan menghentikan kesemua operasi ketenteraan dalam usaha menghalang campur tangan ketenteraan antarabangsa tajaan PBB.

Menteri Luar Moussa Koussa berkata keputusan itu akan “membawa balik ke arah keselamatan” dan “memastikan keselamatan bagi semua rakyat Libya.”

“Kami memutuskan untuk melaksanakan gencatan senjata dengan segera dan dengan segera akan menghentikan kesemua operasi ketenteraan,” kata beliau kepada pemberita di sini.

Dalam pada itu laporan Reuters dari Istanbul berkata, Perdana Menteri Turki Tayyip Erdogan mahu gencatan senjata yang diumumkan Libya hari ini dilaksanakan dengan segera.

“Saya difahamkan Libya mahu adakan gencatan senjata. Kami mahu gencatan senjata dikuatkuasakan segera dan mengakhiri penggunaan kekerasan ke atas rakyat awam,” kata beliau di ibu negara Turki.

Perdana Menteri Britain David Cameron pula berkata pihaknya akan menilai tindakan Muammar ekoran pengumuman gencatan senjata.

“Kami akan menilai beliau menerusi tindakannya, bukan dengan kata-katanya,” kata Cameron kepada TV BBC. — Reuters

No comments:

Post a Comment