27 March 2011

Lebih baik ditadbir penjajah jika hak Melayu hakis, kata Ibrahim Ali


KUALA LUMPUR, 27 Mac — Kaum Melayu lebih baik tinggal di bawah pentadbiran penjajah jika Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan yang melindungi hak istimewa mereka diketepikan dan terhakis, kata Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali hari ini.

Dalam kritikan pedas beberapa jam sebelum pentadbiran Najib mengumumkan laporan tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP), Ibrahim berkata, agenda nasional mesti digerakkan selari dengan kehendak Artikel 153.

“Hak tetap hak,” kata beliau pada akhir Konvensyen Transformasi Ekonomi Bumiputera anjuran Perkasa di sini hari ini.

Justeru kata beliau, tindakan-tindakan sebaliknya bersamaan dengan pendekatan mengabaikan kesemua hak yang diperjuangkan oleh nasionalis Melayu ketika menentang pembentukan Malayan Union, yang memberikan bukan Melayu lebih banyak hak.

“Perlembagaan Persekutuan mesti dijadikan terma rujukan dalam mana-mana dasar nasional,” kata Ibrahim.

“Meskipun kita sedang menuju ke arah satu transformasi dengan cenderung kepada meritokrasi dan liberalisasi untuk memenuhi kehendak ekonomi global, terma rujukan yang seharusnya mestilah Perlembagaan Persekutuan,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas ini.

Katanya, Model Baru Ekonomi (MBE) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak boleh melindungi hak Melayu dan Bumiputera kerana ia bersifat terlalu longgar dan terdedah kepada manipulasi.

Tambah beliau, mana-mana dasar ekonomi yang tidak bertunjangkan Artikel 153 bercanggah dengan perlembagaan dan ia juga satu tindakan jenayah.

Ibrahim juga mengecam kerana kerajaan memberi terlalu banyak perhatian kepada syor-syor pakar luar negara dalam melaksanakan MBE sedangkan mereka tidak faham latar belakang sejarah yang bersangkut-paut dengan ekonomi Malaysia.

“Mereka datang ke sini untuk merangka ekonomi bagi Malaysia berdasarkan pertimbangan asing dan bukannya (keperluan) sosioekonomi negara,” katanya lagi.

Sehubungan itu beliau menggesa kerajaan memberi tekanan kepada tindakan afirmatif yang pro-Bumiputera, sebagaimana ditekankan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB). - TMI

No comments:

Post a Comment