KUALA LUMPUR: Kos penyelenggaraan dua kapal selam negara, iaitu KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak, yang dikendalikan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia dianggarkan RM50 juta setahun, kata Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.
Katanya kos itu meliputi perkhidmatan sokongan serta logistik kedua-dua kapal selam jenis Scorpene itu dan tidak melibatkan kos alat ganti.
Menjawab soalan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu beliau berkata kontrak penyelenggaraan kedua-dua aset strategik negara itu, telah dianugerahkan dan dilaksanakan oleh syarikat usaha sama tempatan dengan pembuat Scorpene iaitu Boustead DCNS Naval Corporation Sdn Bhd.
Abdul Latiff berkata kontrak antara kerajaan dan syarikat penyelenggaraan itu meliputi perjanjian selama enam tahun.
"Penyelenggaraan (setiap sebuah kapal selam) bernilai RM25 juta setahun itu untuk pastikan kita (negara) sebagai pengguna aset itu boleh menggunakan aset itu pada bila-bila masa.
"Kalau ia tidak boleh memenuhi hasrat TLDM, kita boleh denda (syarikat itu)mengikut perjanjian yang dimeterai," katanya.
Malaysia menempah dua kapal selam baru jenis Scorpene dengan kos pembelian berjumlah RM3.4 bilion pada 2002 yang dibina secara bersama oleh DCNS dari Perancis dan Navantia, syarikat pembuat kapal selam dari Sepanyol.
KD Tunku Abdul Rahman tiba di perairan Malaysia pada September 2009 dari Perancis manakala kapal selam kedua negara, KD Tun Razak tiba di pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di Teluk Sepanggar, Sabah pada Julai, 2010.
Kepada soalan wakil yang sama, Abdul Latiff berkata kerosakan teknikal pada KD Tunku Abdul Rahman seperti yang dilaporkan sebelum ini telah berjaya diatasi dengan ujian selaman yang berjaya dilaksanakan pada 22 Feb tahun lepas.
Sebelum ini dilaporkan kerosakan mekanikal dikesan pada 17 Jan tahun lepas ketika kerja penyelenggaraan dilakukan di Pangkalan TLDM di Teluk Sepanggar.
Abdul Latiff mengingatkan semua pihak agar tidak mendedahkan keburukan serta kelemahan aset pertahanan negara kepada anasir luar seperti yang seringkali dilakukan oleh pembangkang sebelum ini.
"Masalah teknikal yang dihadapi oleh kapal selam adalah masalah biasa yang boleh dialami oleh mana-mana kapal selam dunia. Saya kira dalam hal ketenteraan dan keselamatan negara kita patut berkongsi rahsia, jangan mendedahkan kelemahan sistem pertahanan negara ke luar (negara)," katanya.
Beliau berkata pencapaian paling membanggakan dalam operasi kapal selam berkenaan ialah apabila KD Tunku Abdul Rahman membuat penembakan misil SM 39 pada Julai lepas di kedalaman 55 meter dan telah mengenai sasaran yang berada sejauh 40 kilometer.
"Kejayaan itu dapat meningkatkan semangat juang yang lebih tinggi kepada krew kapal walau pembangkang mengatakan kedua-duanya (kapal) bermasalah," katanya.
Abdul Latiff juga berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berpuas hati selepas menaiki KD Tunku Abdul Rahman dan menyelam pada kedalaman maksimum operasi di Laut China Selatan baru-baru ini.- BERNAMA
No comments:
Post a Comment