LONDON: Seorang remaja jelita dibelasah hingga cedera teruk oleh teman lelakinya, seorang peninju menyebabkan pegawai perubatan tidak dapat menyatakan sama ada gadis itu lelaki atau wanita.
Pelajar universiti, Tirion Lewis, 19, koma sejak sebulan lalu selepas teman lelakinya memukul dan menendangnya berulang kali di sebuah kawasan hutan.
Wayne Fox, 23, berdepan dengan hukuman penjara selepas mengaku menculik Tirion dan menyerangnya di Aberystwyth Wales Barat.
Dia digugurkan daripada tuduhan cubaan membunuh.
Tirion sedang mendengar muzik dengan seorang rakan di dalam kereta di luar rumah keluarganya apabila Fox, 23, menyerbu kenderaan itu.
Mahkamah diberitahu semalam, lelaki bertubuh tegap itu kemudian memaki hamun sebelum menyoal Tirion: “Kenapa anda melakukan ini kepada saya.” Peninju itu kemudian menumbuk hingga pecah cermin kereta, memasukinya sebelum memandu kenderaan itu dengan Tirion dan rakannya, Miriam Evans, 19, berada di dalam, menuju ke kawasan hutan.
Dia menarik Tirion keluar lalu menumbuk dan menendang gadis berkenaan.
Miriam, dalam keterangannya kepada polis berkata: “Saya melihat Fox menumbuk dan menendang Tirion yang sudah terbaring di tanah. “Saya menjerit supaya dia menghentikan perbuatannya. Saya menariknya tetapi dia memusing ke arah saya sebelum menumbuk dan menendang muka saya.
“Dia kemudian beralih kepada Tirion dan menumbuk serta menendang rakan baik saya itu lagi. Dia juga duduk di atas Tirion dan menumbuknya tanpa henti.” Evans juga berkata, Fox berhenti tiba-tiba sebelum menaiki kereta dan meninggalkan tempat itu dengan membiarkan dia dan Tirion yang tidak sedarkan diri.
Dia terpaksa berjalan kaki dan meminta bantuan penghuni rumah paling dekat dengan hutan itu. - Agensi
No comments:
Post a Comment