03 March 2011

Jaipp pasang notis elak kegiatan khurafat

KEPALA BATAS: Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp) memasang notis pada pokok petai ‘menangis’ di Kampung Lembah Raja, Pinang Tunggal, dekat sini, bagi mengelak perkara bercanggah dengan ajaran Islam.

Notis berkenaan berkaitan larangan memuja sebarang bentuk kejadian alam atau yang menghampiri perkara khurafat mengikut Seksyen 3 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 iaitu pemujaan salah.

Mengikut seksyen berkenaan, mereka yang didapati melanggar larangan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-dua sekali.

Tindakan memasang notis diambil berikutan pokok petai berusia 28 tahun itu mula mencuri tumpuan sejak tersebar berita mengenai kejadian pelik itu lima hari lalu.

Harian Metro Isnin lalu melaporkan penduduk Kampung Lembah Raja gempar apabila sebatang pokok petai ‘menangis’ hingga air turun seperti hujan sejak beberapa hari.

Pokok setinggi kira-kira 10 meter dan berusia lebih 35 tahun itu mengeluarkan air melalui dahannya, malah lebih banyak ketika tengah malam.

Berikutan itu, penduduk kampung berpusu-pusu melihat pokok petai yang ‘menangis’, malah sanggup menunggu hingga jam 4 pagi.

Penduduk, Ishak Jusoh, 63, berkata orang ramai termasuk dari luar Pulau Pinang berpusu-pusu ke kampungnya untuk melihat pokok petai itu. - HMetro

No comments:

Post a Comment