01 March 2011

Beza Cikgu Merlimau Dengan Cikgu Tenang

MUNGKIN ia berlaku secara kebetulan. Sedar tak sedar kedua-dua calon PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Merlimau dan Tenang, Johor pada 30 Januari lalu memiliki pasangan yang masing-masing bertugas sebagai pendidik atau guru.

Di Merlimau, Yuhaizad Mohamad, 38, suri hidupnya ialah Shakila Mohamad, 38, manakala di Tenang calon PAS iaitu Normala Sudirman, 38, yang mendirikan rumah tangga dengan Maarof Abd. Mutalib.

PRK DUN Tenang diadakan selepas kematian wakil rakyatnya, Datuk Sulaiman Taha akibat kencing manis dan keracunan dalam darah sementara Merlimau selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan yang mengalami serangan jantung meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Pakar Putra, Melaka.

Normala atau lebih mesra disapa sebagai Cikgu Mala, sepanjang kempen pilihan raya kecil kawasan DUN dalam Parlimen Labis itu yang berakhir pada malam 30 Januari lalu, bukan beliau sahaja popular sebagai calon tetapi juga Makrof, malah satu ketika beliau lebih popular daripada isterinya.

Beliau begitu mencuri perhatian kerana sentiasa dilihat setia menemani isterinya sepanjang berkempen tak kira siang dan malam sehingga menimbulkan persoalan, tak bekerjakah beliau, sedangkan hari-hari yang dilalui bukan musim cuti sekolah.

Bagaimanapun segalanya terbongkar apabila media arus perdana mendedahkan bahawa Maarof mengambil cuti sakit selama 21 hari. Ia menjadi kontroversi dan polemik mengenainya dijadikan bahan kempen oleh Barisan Nasional (BN) bahawa Maarof tidak sepatutnya berbuat demikian seperti yang dilaporkan di dalam sebuah blog, http://marahku.blogspot.com.

Blog tersebut mendakwa Maarof cuti sakit, tetapi pada masa yang sama dilihat bersama isterinya pada majlis-majlis dan kempen yang dijalankan oleh calon Pas itu.

Dan mungkin akibat kontroversi tersebut sedikit sebanyak menyumbang kemenangan calon BN, Mohd Azahar Ibrahim dengan majoriti lebih besar iaitu 3,707 undi berbanding 2,492 undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Mac 2008 selepas mendapat 6,699 undi, sedangkan Cikgu Mala hanya memperoleh 2,992 undi.

Di Merlimau, Shakila yang juga seorang guru... tetapi dek mungkin belajar dari kisah di Tenang maka beliau jarang dilihat bersama suaminya berkempen di seluruh kawasan N.27 lebih-lebih lagi musim cuti sekolah hanya akan bermula pada 12 Mac ini.

Sejak disahkan sebagai calon, Yuhaizad lebih banyak bergerak secara solo dibantu jentera pilihan raya PAS selain pemimpin-pemimpin pusat parti pembangkang itu. Tiada kelibat Shakila. Atas kesedaran mahu mengelakkan isteri Yuhaizad menjadi sasaran kempen parti lawan, maka adalah lebih baik Shakila tidak keluar berkempen secara terang-terangan bersama suaminya memandangkan beliau seorang kakitangan Kementerian pelajaran dan menetap di kuaters guru.

Pastinya, Shakila sedang menjalankan tugasnya mendidik anak bangsa di ssalah sebuah sekolah kebangsaan di Kampung Chinchin. Itulah yang sebaiknya bagi beliau. Tugas adalah lebih utama berbanding keperluan politik walaupun suaminya calon PAS.

Ketika ditanya pemberita mengenai situasi itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan sikap profesionalnya dengan berkata: "Bagi saya tinggal di kauters guru milik kerajaan itu bukan masalah, selagi beliau (Shakila) tidak melanggar tata tertib. Tetapi jika tiada kebenaran bercuti maka tindakan boleh diambil namun tidak pada masa sibuk dengan pilihan raya ini."

Namun beliau yang juga Menteri Pelajaran secara sinis berpendapat, Shakila kurang berterima kasih dengan kerajaan ekoran tindakannya bersama-sama pembangkang walaupun disediakan kemudahan berdasarkan kelayakannya. - Mstar

* Nampaknya golongan guru berpihak kepada Pakatan Rakyat. Guru adalah golongan yang ditindas dan tertekan dengan bidang tugas yang membebankan sehingga mengabaikan tugas mendidik anak bangsa yang sepatutnya dilakukan sepenuh masa. Pakatan Rakyat sepatutnya menjanjikan tugas yang membolehkan kumpulan ini menumpukan kepada mendidik anak bangsa yang selama ini diabaikan oleh Umno...

No comments:

Post a Comment