ULU TIRAM: “Sekurang-kurangnya selepas ini masa depannya terjamin selain kami tidak perlu mendengar bunyi tangisan dan jeritan meminta tolong kanak-kanak perempuan itu,” kata jiran seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dipercayai mangsa dera ahli keluarganya, semalam.
Wanita itu yang dikenali sebagai Aileen berusia 40-an berkata, dia yang tinggal berhampiran kediaman mangsa di Taman Puteri Wangsa, di sini, kerap terdengar jeritan mangsa, Shatini, 12, terutama pada waktu malam sejak beberapa tahun lalu.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu tidak berlaku ketika kanak-kanak itu tinggal berjauhan dengan keluarga kerana bersekolah di tahun empat di Butterworth, Pulau Pinang lebih setahun lalu.
“Perkara sama berulang selepas kanak-kanak itu dibawa pulang, di mana sebelum ini saya pernah melihat kesan lebam yang teruk di wajah kanak-kanak itu.
“Beberapa penduduk juga pernah menasihatkan ahli keluarganya supaya menghentikan perbuatan itu namun yang mengecewakan, mereka mengulangi kekejaman terhadap kanak-kanak itu hingga malam kelmarin (Khamis).
“Ketika kejadian itu, saya yang berada di bilik air jelas mendengar jeritan kanak-kanak itu meminta tolong berulang-kali,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terhadap ibu bapa kanak-kanak berkenaan secepat mungkin.
“Saya tidak dapat mengulas lanjut kes ini termasuk berkaitan tangkapan suspek,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Mohd Faizal Abu Bakar berkata, kanak-kanak berkenaan menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), kelmarin.
Menurutnya, JKM akan berusaha mendapatkan perintah perlindungan sementara bagi kanak-kanak itu di Mahkamah Kanak-kanak, esok.
“Kanak-kanak itu akan diberi perlindungan selama sebulan sementara siasatan dijalankan terhadap keluarganya secara serentak bagi mengenal pasti sama ada mereka layak menjaganya pada masa depan,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad, semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan kisah seorang kanak-kanak perempuan yang dianggap pembawa sial kerana berpenyakit kulit sejak dilahirkan, dilayan lebih teruk daripada haiwan dan menjadi mangsa deraan bapanya di Taman Puteri Wangsa, di sini, sejak lebih 10 tahun lalu.
Bapa kanak-kanak itu bukan saja memukulnya menggunakan kayu serta topi keledar, malah dicucuh dengan besi panas.
Bagaimanapun, perlakuan kejam lelaki berusia 40-an itu terdedah selepas mangsa yang hanya dikenali sebagai Shatini mengadu nasib malang menimpanya kepada jiran sebelum diselamatkan JKM, tengah hari kelmarin.
Shatini yang menghidap penyakit kulit di kaki dan tangan didapati mempunyai 20 kesan luka lama dipercayai akibat penderaan fizikal. - Mymetro
No comments:
Post a Comment