KUALA LUMPUR: Sikap negatif pemandu kenderaan dan penunggang motosikal adalah punca utama kematian akibat kemalangan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha.
Beliau berkata mereka sering melebihi had laju, memandu dan menunggang dengan cuai, berhenti secara mengejut, mengekori dengan rapat serta melanggar lampu isyarat.
"Berdasarkan statistik Ops Sikap ke-23 sepanjang tempoh 11 hari yang lepas, sebanyak 93 daripada 147 kematian yang dilaporkan, membabitkan penunggang motosikal manakala 37 lagi atau 25 peratus pula melibatkan pemandu dan penumpang kereta.
"Jumlah itu diikuti dengan pejalan kaki yang membabitkan 10 kematian, dua penumpang van, dua kelindan lori, seorang pemandu teksi, seorang penumpang kereta, seorang penumpang jip dan seorang penunggang motosikal," katanya dalam satu kenyataan, Isnin.
Kong berkata analisis menunjukkan pengangkutan awam seperti bas ekspres dan kereta api masih merupakan pilihan yang selamat berbanding memandu kenderaan persendirian atau menggunakan motosikal.
"Sehingga kini, sebanyak 12,614 kemalangan telah dilaporkan dan kami percaya untuk beberapa hari akan datang, terdapat kesesakan lalu lintas di sepanjang lebuh raya Utara-Selatan menghala ke Kuala Lumpur, kerana ramai pulang daripada bercuti.
"Semua pengguna jalan raya termasuk pengusaha bas dan kenderaan perdagangan yang lain, perlu berhati-hati bagi memastikan perjalanan yang selamat dan mereka turut mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bas serta pemandu berkeadaan baik," katanya.
Kong berkata sebanyak 1,182 bas diperiksa dan sejumlah 286 saman dikeluarkan dalam 'Ops Bas Persiaran' yang bermula pada 31 Disember lepas dan berakhir semalam.Kesalahan yang direkodkan itu termasuk memandu tanpa lesen, membawa muatan lebih, mengubah suai kenderaan dan tidak ada pemandu pelancong, katanya.
Beliau berkata bermula 21 Januari sehingga 20 Februari ini, seramai 3,500 pegawai ditugaskan untuk menyamar sebagai penumpang dan melakukan pemeriksaan mengejut ke atas bas persiaran di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) seluruh negara.
"Penguatkuasaan yang berterusan dan ketat terhadap pemandu-pemandu cuai telah memberi keyakinan kepada penumpang untuk menggunakan perkhidmatan bas balik ke kampung masing-masing sempena cuti perayaan ini," katanya.- BERNAMA
* Punca utama adalah kegagalan kerajaan mengurus keselamatan jalan raya. Penyelesaiannya adalah tukar kerajaan yang bersungguh-sungguh menjaga kebajikan rakyat...
No comments:
Post a Comment