KUALA LUMPUR, 1 Feb — Dua bekas atlet kebangsaan, pemain bola sepak Santokh Singh Gurdial Singh dan penembak Sabiamad Abdul Ahad dianugerahkan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2011.
Mereka antara 256 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Wilayah Persekutuan pada istiadat pengurniaan yang disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Balairong Seri Istana Melawati di Putrajaya.
Santokh, 59, yang berpasangan dengan Datuk Soh Chin Aun pada era kegemilangan mereka, disifatkan sebagai pasangan pertahanan terbaik di Asia pada era 1970-an.
Beliau pernah bermain bersama legenda bola sepak negara seperti Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, mendiang R. Arumugam dan Chin Aun pada 1970-an dan 1980-an, pernah beraksi di Sukan Olimpik Munich 1972 dan membantu Malaysia layak ke Olimpik Moscow pada 1980.
Sehingga kini, Santokh masih lagi cergas beraksi di padang terutama dalam perlawanan yang melibatkan pemain veteran.
Sabiamad, 55, pula beraksi sebagai penembak kebangsaan dari 1981 hingga bersara pada awal 1990-an.
Ketika zaman kegemilangannya, Sabiamad mengungguli acara Air Pistol di peringkat Asia Tenggara terutama dalam acara Central Pistol, Rapid Pistol dan Standard pistol.
Selepas tidak lagi aktif sebagai penembak kebangsaan, beliau yang kini menjadi ahli perniagaan, pernah menjadi pengurus pasukan negara ke beberapa kejohanan antarabangsa.
Selain dua atlet itu, beberapa pentadbir dan ahli sukan turut menerima pingat iaitu ketua jurulatih wushu Putrajaya Ho Ro Bin yang menerima pingat Johan Mahkota Wilayah (JMW).
Tiga lagi menerima Kesatria Mahkota Wilayah (KMW) iaitu P. Arivalagan (jurulatih karate kebangsaan), V. Rajamanickam (setiausaha Persatuan Hoki Kuala Lumpur) dan Oh Poh Soon (ketua jurulatih wushu Wilayah Persekutuan).
Setiausaha kehormat Persatuan Bola Baling Kuala Lumpur S. Jayapalan dianugerahkan Ahli Mahkota Wilayah (AMW) manakala jurulatih Persatuan Olahraga Amatur Kuala Lumpur, S. Arunandy dan penolong bendahari Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur P. Chandran mendapat Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW).
Dalam pada itu, lapor Bernama, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan akan mengetuai senarai 256 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena sambutan tahun ini.
Turut menerima anugerah darjah SUMW yang membawa gelaran Datuk Seri Utama itu ialah Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Public Bank Berhad Tan Sri Thong Yaw Hong.
Pengarah Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Datuk Seri Akhil Bulat, Presiden Parti Progresif Penduduk Datuk M. Kayveas dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hartanah dan Pemaju Malaysia Datuk Seri Yam Kong Choy pula merupakan tiga individu yang dianugerahkan darjah Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri pada tahun ini.
Tahun ini merupakan kali keempat darjah kebesaran, bintang dan pingat Wilayah Persekutuan dianugerahkan kepada individu-individu yang berjasa membangunkan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Selain itu, seramai 33 individu lagi dianugerahkan PMW yang membawa gelaran Datuk termasuk Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer, Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad Datuk Mohd Nasir Ali, Pengarah Urusan New Straits Times Press Nuraina Abdul Samad, Pesuruhjaya Suruhanjaya Sekuriti Datuk Tah Leh Kiah, Pengarah Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia Datuk Mustafar Ali, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Salleh Yusup.
Turut menerima pengurniaan PMW ialah Pengarah Institut Perubatan Respiratori Datuk Dr Aziah Ahmad Mahayiddin, Timbalan Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri Datuk Himmat Singh Ralla Singh, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Ab Rahim Md Noor, Ketua Jabatan Dermatologi Hospital Kuala Lumpur Datuk Dr Rashidah Baba, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Bakaruddin Othman, Pegawai Khas Perdana Menteri Ravindren Chelliah P Ponniah, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Anan C. Mohd dan Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan Datuk Azizan Abd Rahman.
Pakar Perunding Jabatan Kardiologi Dan Elektrofisiologi Institut Jantung Negara (IJN) Datuk Dr Razali Omar, Pakar Kardiologi Jabatan Kardiologi dan Elektrofisiologi IJN Datuk Dr Azhari Rosman, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan Hartanah Berhad Kamalul Arifin Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Resources Corporation Berhad Mohamed Razeek Md Hussin Maricar, Profesor Institut Sains Biologi Universiti Malaya (UM) Profesor Dr Amru Nasrulhaq Boyce, Profesor Jabatan Perubatan Molekul UM Profesor Dr Rohana Yusof, Pengerusi SCRC Holding Berhad Low Wui Keong, Ketua Wanita Umno Wilayah Persekutuan Datuk Azizah Abd Samad, Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia R. Thanenthiran dan Timbalan Ketua MCA Bahagian Kepong Ong Teck Eng turut dikurniakan PMW.
Makkal Sakti Malaysia antara parti politik baru ditubuhkan khususnya selepas pilihan raya umum Mac 2008.
Penerima lain darjah PMW ialah Setiausaha Biro Pendidikan MIC Wilayah Persekutuan A. Sothinathan, Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan Bahrim @ Baharuddin A Razak, Presiden Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Liew Kon Seng, Presiden Persatuan Penduduk Taman Lucky Kuala Lumpur Ir Nordeen Mohd Salleh, Timbalan Presiden Persatuan Bekas Pegawai-Pegawai Kanan DBKL Khuzaimah Yunos, Timbalan Presiden Operasi Keselamatan Resorts World Berhad Paul Kiong, Doktor Pakar Telinga Hidung dan Pekak Prince Court Hospital Kuala Lumpur Dr Kuljit Singh Mahindar Singh dan Pengarah Radzuan Fashion Design Radzuan Radzi.
Seramai 25 orang menerima bintang Johan Mahkota Wilayah (JMW), 50 menerima bintang Kesatria Mahkota Wilayah (KMW), 66 orang termasuk Editor Perkhidmatan Luar Negeri dan Antarabangsa Bernama Nor Faridah Abdul Rashid dianugerahi Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 74 lagi menerima Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW). - TheMalaysianInsider
No comments:
Post a Comment