24 February 2011

Samun: Dua penjenayah dicekup

SUBANG JAYA 23 Feb. - Empat penjenayah bukan hanya 'berputih mata' untuk menikmati wang hasil samun, malah dua daripada mereka bakal meringkuk dalam penjara apabila dicekup polis semasa melarikan diri selepas menyamun pelanggan bank.

Dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, suspek bersenjatakan parang dan tukul besi telah memecahkan cermin kereta Honda Accord dinaiki tiga beradik yang baru selesai mengeluarkan wang dari sebuah bank di Jalan USJ10 1J di sini.

Suspek yang cukup berani apabila tidak memakai topeng semasa melakukan jenayah itu kemudian meragut beg berisi wang daripada mangsa sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta BMW.

Penjenayah bagaimanapun terperangkap apabila terserempak dengan sepasukan anggota polis peronda di kawasan berhampiran yang kemudian mengejar dan berjaya menangkap dua daripada mereka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Supritendan Abdul Aziz Abdul Majid berkata, sebelum kejadian, suspek dipercayai telah memerhatikan mangsa mengeluarkan wang di bank berkenaan.

"Pada pukul 11.30 pagi, dua beradik perempuan telah masuk ke bank untuk mengeluarkan wang, manakala seorang saudara lelakinya menunggu dalam kereta.

"Selesai urusan mengeluarkan wang, mereka terus masuk ke dalam kereta, namun terkejut apabila tiba-tiba datang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dan tukul besi menghampiri kenderaan mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian, di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudian memecahkan cermin kereta dan melarikan beg berisi wang yang baru dikeluarkan oleh mangsa dari bank sebelum itu.

Katanya, mangsa yang terkejut tidak sempat melakukan apa-apa kerana kejadian itu berlaku amat pantas.

Tambahnya, suspek kemudian melarikan diri menaiki sebuah kereta BMW ke arah Jalan Persiaran Ikhlas, namun kenderaan mereka berjaya dipintas oleh kereta dinaiki sepasukan lima anggota polis.

"Lima anggota polis yang menaiki kereta Proton Waja sedang menjalankan tugas rondaan apabila secara kebetulan terserempak dengan kejadian jenayah itu.

"Mereka segera mengejar suspek sebelum berjaya memintas dan menghalang kereta penjenayah terbabit kira-kira 600 meter dari tempat mangsa disamun," katanya.

Menurut Abdul Aziz, suspek yang terperangkap cuba melarikan diri dan bergelut dengan anggota polis tetapi dua daripada mereka berjaya ditangkap.

Beliau berkata, dua rakan suspek bagaimanapun sempat meloloskan diri dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.

Abdul Aziz berkata, polis yang memeriksa kereta suspek menemui semula beg berisi wang yang dilarikan sebelum itu dan beberapa barang lain termasuk parang serta tukul besi yang digunakan untuk menyamun.

"Dua suspek dipercayai lelaki tempatan masing-masing berusia 17 dan 21 tahun kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

"Siasatan mendapati kereta BMW digunakan suspek dalam kejadian itu adalah kenderaan curi dan menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya sambil memberitahu kereta terbabit dilaporkan hilang di Petaling Jaya pada tahun lalu.

Beliau berkata, polis masih menyiasat latar belakang suspek dan penglibatan mereka dalam kes-kes jenayah lain. - Utusan

* Betapa berkesannya kereta peronda polis. Perbanyakkan kereta peronda polis di seluruh negara akan mengurangkan kadar jenayah...

No comments:

Post a Comment