17 February 2011

Sabah tidak iktiraf kesultanan Sulu

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Musa Haji Aman menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak mengiktiraf kesultanan Sulu di Sabah.

Sehubungan itu beliau berkata, kerajaan negeri menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa terbabit untuk melakukan siasatan dan tindakan ke atas seorang peniaga tempatan, Datu Mohd Akjan Ali Muhammad, yang menggelar dirinya sebagai Sultan Sulu baru-baru ini.

“Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf kesultanan Sulu, jadi kita berharap pihak berkuasa terbabit akan melakukan tindakan yang sewajarnya ” kata Musa pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat Kabinet negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu Sultan Sulu yang telah mendapat liputan meluas oleh laman-laman web termasuk sabahkini.net.

Pada 2 Februari lalu, Datu Mohd Akjan, yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Sabah dilaporkan telah ditabalkan sebagai Sultan Sulu ke-33 selepas mengangkat sumpah kesetiaan dalam satu majlis di Kampung Likas dekat sini.

Dilaporkan pertabalan Akjan yang turut mendapat gelaran Paduka Mahasari Maulana Al-Sultan Sharif Ali Muhammad Pulalun atau Sultan Shariful-Hashim II, disaksikan sekumpulan 60 orang termasuk pegawai kanan Kesultanan Sulu.

Berikutan itu, beberapa pihak termasuk tiga pertubuhan politik Pemuda Barisan Nasional, PKR dan Parti Progresif Sabah masing-masing telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu meminta tindakan undang-undang diambil terhadap Datu Akjan.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang wartawan dan pengarang kanan sebuah akhbar tempatan telah dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung kes Datu Mohd. Akjan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, kenyataan daripada kedua-dua wartawan tersebut adalah bertujuan mengesahkan majlis pentabalan Akjan sebagai Sultan Sulu.

“Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan menyeluruh dari pelbagai aspek dan kedua-dua wartawan tersebut hanya dipanggil untuk mengesahkan majlis pertabalan Akjan terbabit,” katanya.

Jelasnya, pihak polis kini telah mempunyai bukti cukup untuk mendakwa Akjan dan kes tersebut kemungkinan akan dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan. - FMT

* Bukankah bagus negeri beraja? Kenapa takut sangat Sabah mempunyai raja? Seolah-olah rakyat Sabah akan susah jika beraja? Raja itukan memberi banyak manfaat kepada rakyat Sabah khasnya dan rakyat Malaysia Umumnya...atau berbeza pada fikiran Musa.

No comments:

Post a Comment