22 February 2011

Ruang khas wanita Iran

GEORGETOWN: Kelicikan dua wanita warga Iran meloloskan diri buat kali ketiga dipercayai untuk menyeludup masuk syabu seberat 6.2 kilogram (kg) bernilai RM1.55 juta yang disembunyikan dalam dua beg pakaian tidak kesampaian apabila dicekup di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 malam itu, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri menerima maklumat awam mengenai ketibaan kedua-dua wanita berusia 21 dan 34 tahun itu di negara ini menerusi penerbangan Silk Air dari Kuala Lumpur.

Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakub berkata, kedua-dua suspek ditahan sebaik tiba di LTABL selepas transit di Dubai dan Singapura sebelum meneruskan penerbangan ke negeri ini.

Beliau berkata, kedua-dua warga Iran itu tiba dengan masing-masing membawa beg pakaian dan hasil pemeriksaan mendapati beg berkenaan diubahsuai dengan satu ruang sulit.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati dadah berkenaan dibungkus dengan plastik lutsinar dan dilindungi pakaian suspek bagi mengaburi mata pihak berkuasa ketika mereka masuk ke negara ini melalui LTABL.

“Kedua-dua suspek masuk ke negara ini kali pertama pada Disember tahun lalu dan bulan lalu.

“Ekoran kekerapan memasuki negara ini tanpa sebarang tujuan mahupun pekerjaan akhirnya mereka ditahan untuk siasatan lanjut dan aktiviti mereka dipercayai didalangi sindiket tempatan yang menjalin kerjasama dengan sindiket dadah luar negara,” katanya.

Ayub berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti aktiviti sebenar sindiket berkenaan selain menjadikan negara ini serta Pulau Pinang sebagai pintu masuk untuk transit penyeludupan dadah. - Mymetro

No comments:

Post a Comment