KUALA LUMPUR 12 Feb. - Tindakan segelintir pemimpin Pas mengkritik Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan yang bersedia membantu pihak berkuasa membanteras maksiat pada Hari Kekasih, 14 Februari ini memperlihatkan bahawa mereka sanggup menggadai akidah kerana gilakan kuasa.
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berkata, suara-suara 'dajal kecil' itu senada dengan golongan bukan Islam termasuk sekutu Pas iaitu DAP yang turut lantang mengkritik pendirian Nasrudin.
Menurut beliau, tidak ketinggalan parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA dan Gerakan yang turut menghentam Nasrudin malah kumpulan 'nyamuk' seperti SiS Forum Sdn. Bhd.
"Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengumumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan siri penerangan tentang maksiat pada Hari Kekasih dan Jabatan Agama Islam negeri-negeri telah diarah menjalankan operasi mencegah maksiat.
"Saranan sama disuarakan oleh Nasrudin yang menyeru supaya penerangan dan pencegahan maksiat diadakan pada hari tersebut. Bahkan beliau menyatakan Dewan Pemuda Pas sanggup membantu pihak berkuasa negeri-negeri untuk laksanakan tugas tersebut.
"Namun malangnya, ada antara kita yang menjadi kelkatu dan buta terhadap agamanya sendiri. Pendirian Nasrudin dikritik oleh segelintir pemimpin Pas sendiri, malah ada yang mengherdik kerana tindakannya dikatakan merugikan Pas dalam usaha mendapat undian bukan Islam pada pilihan raya akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian dalam entri bertajuk Khutbah: Al-Valantino menerusi blognya, www.zul4kulim.blogspot.com.
Jelas Zulkifli, ada juga suara sumbang yang mendakwa Nasrudin terlalu jumud dan buta politik selain meminta beliau menumpukan kepada soal politik kepartian serta menjaga kepentingan parti untuk pilihan raya akan datang.
"Begitu ghairah mereka gilakan kuasa sehingga akidah digadaikan," ujarnya.
Katanya, tahun ini sambutan Hari Kekasih jatuh sehari sebelum sambutan Maulidur Rasul pada 15 Februari ini.
"Jadi, janganlah kita benarkan maksiat mencemari sambutan memperingati kelahiran Rasulullah. Kita mesti tetap dan berpegang kepada syariat Islam walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cemuhan, celaan dan kutukan," tambahnya. - Utusan
* Zul baca tak habis...
No comments:
Post a Comment