KUALA LUMPUR: Sepasang kekasih yang menginap di sebuah hotel mewah di ibu kota, cuba mendapatkan cenderamata dengan mencuri dan menyembunyikan sebuah televisyen besar dalam beg pakaian mereka.
Mereka dipercayai mencabut televisyen LCD bersaiz 32 inci sebelum berpura-pura ke lobi hotel yang terletak di Jalan Bukit Bintang, di sini dalam usaha melarikan diri, kelmarin.
Sumber polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, seorang kakitangan hotel yang bertugas di lobi melihat suspek berjalan keluar dari pintu hotel secara tergesa-gesa.
Berikutan itu, dia segera bertindak menahan pasangan terbabit untuk pemeriksaan lanjut. Namun suspek enggan membenarkan beg pakaiannya disentuh kakitangan terbabit. Malah pengawal keselamatan yang turut masuk campur ditegah daripada membuka beg pakaian itu, katanya.
Menurutnya, suspek berjalan masuk semula ke dalam bilik hotel sambil diekori kakitangan hotel berkenaan.
Bagaimanapun suspek tidak membenarkan kakitangan itu memeriksa atau masuk ke bilik mereka dengan alasan tidak mahu diganggu, katanya.
Menurutnya, suspek hanya membenarkan dua pengawal keselamatan hotel terbabit memasuki bilik berkenaan 10 minit kemudian.
Hasil pemeriksaan awal dilakukan, kakitangan hotel mendapati kedudukan televisyen terbabit dalam keadaan senget dan tidak sempurna. Namun pengawal keselamatan hotel memeriksa tandas dan mendapati alat pemanas air yang dipasang turut lesap, katanya.
Menurutnya, suspek akhirnya mengaku mencuri alat pemanas air berharga RM500 itu sebelum diserahkan kepada rakannya sebelum ini. - HMetro
No comments:
Post a Comment