04 February 2011

Paras tertinggi

RINGGIT yang diniagakan pada paras tertinggi dalam tempoh 14 tahun kelmarin, dijangka meneruskan momentum pengukuhan antara tiga hingga lima peratus lagi kepada RM2.93 dan RM2.99 bagi sedolar Amerika Syarikat tahun ini.

Ketua Ekonomi Kumpulan RAM Holdings Berhad, Dr Yeah Kim Leng berkata, nilai ringgit dijangka akan terus naik secara beransur-ansur.

“Prospek pertumbuhan negara yang mencatat kadar pemulihan ekonomi kukuh dan peningkatan eksport akan menyumbang kepada prestasi ringgit,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Perancangan Strategik Bank Islam Malaysia Berhad, Azrul Azwar Ahmad Tajudin berkata, pengukuhan mata wang negara mempunyai implikasi positif terhadap dagangan import.

“Kebaikan terhadap pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika ialah ia dapat mengekang inflasi import dengan menjadikan harga barangan yang diimport lebih rendah daripada sebelum ini.

“Selain itu, situasi ini akan memberikan persepsi kepada masyarakat bahawa negara kita sedang meningkat naik,” katanya.

Beliau berkata, pengukuhan serentak ekonomi serantau boleh disifatkan positif berikutan keadaan itu tidak akan menjejaskan eksport negara.

“Negara luar mungkin akan beralih daripada Malaysia dan berdagang dengan negara lain yang menawarkan hasil eksport sama berikutan harga barangan yang meningkat akibat pengukuhan ini terutama jika ia berlaku secara mendadak.


“Mujur pengukuhan nilai mata wang turut berlaku kepada negara serantau yang menawarkan hasil eksport serupa dengan Malaysia, sekali gus tidak memberi kesan teruk terhadap eksport negara,” katanya.

Dalam pada itu, Bernama semalam melaporkan, pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika akan meningkatkan gaji, membolehkan pengeksport menjadi lebih berdaya saing dan menggalakkan automasi.

Pengerusi Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli), Tan Sri Dr Ramon Navaratnam berkata, keadaan itu adalah petunjuk positif bahawa ekonomi kini berubah dan menuju ke arah penciptaan tenaga kerja berpendapatan tinggi.

“Saya rasa ia adalah petunjuk baik untuk membiarkannya (ringgit untuk mencapai parasnya sendiri), asalkan ia adalah penyesuaian yang teratur.

“Bank Negara berjaya kerana ini menunjukkan kekuatan sebenar ekonomi tanpa apa-apa campur tangan seperti elemen subsidi,” katanya. - Mymetr0

No comments:

Post a Comment