TUMPAT 20 Feb. — Mahkamah Koroner di sini diberitahu bekas pengawal Istana Negeri Kelantan, Ramli Mohamad pernah bertengkar dengan beberapa pengawal peribadi bekas Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra, beberapa hari sebelum Allahyarham ditembak ketika menunggang motosikal ke rumahnya pada 1 Mei tahun lalu.
Pengawal Istana Negeri, Lans Koperal Hafizi Azim Anim berkata pertengkaran itu berlaku ekoran tindakan pengawal peribadi berkenaan tidak membenarkan Ramli dan semua pengawal istana memasuki Istana Mahkota, atas arahan Tengku Muhammad Fakhry Petra dan bondanya, Raja Perempuan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.
"Ramli bertengkar kerana sikap kurang ajar pengawal peribadi itu terhadap pengawal istana yang terdiri daripada anggota polis, tetapi ia tidak sampai kepada tumbuk-menumbuk.
"Sampai satu ketika, Ramli pernah mengeluarkan kata-kata kepada pengawal peribadi itu yang menyebut ‘mu ingat mu gedebe ke’,” katanya ketika memberi keterangan di depan Koroner Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat, yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya Wan Abdul Razak Wan Hussein, pada prosiding hari keempat inkues bagi menyiasat punca kematian mangsa yang ditembak penyerang tidak dikenali di Palekbang. — Bernama
No comments:
Post a Comment