Mahkamah Sesyen Shah Alam menetapkan 28 Februari ini sebagai tarikh keputusan kes perbicaraan remaja 15 tahun, Aminulrashid Amzah yang ditembak mati oleh polis.
Hakim Latifah Mohd Tahar membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.
Mahkamah Sesyen sepatutnya hari ini memutuskan sama ada anggota polis, Koperal Jenain Subi dibebaskan atau dipanggil membela diri.
Seramai 39 saksi pendakwaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 12 Okt tahun lalu.
Jenaini, 48, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid antara 1.10 pagi dan 2 pagi 26 April tahun lalu di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di Shah Alam.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Aminulrasyid disahkan meninggal dunia akibat luka tembakan di kepalanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani, Mohd Dusuki Mokhtar dan Adilla Ahmad sementara Jenain diwakili peguam M. Athimulan dan Salim Bashir.
Terdahulu, mahkamah dipenuhi anggota keluarga Aminulrasyid termasuk ibu, abang, adik perempuan dan dua kakak mangsa yang hadir untuk mengetahui keputusan kes itu.
Kira-kira 10 rakan mangsa termasuk Muhammad Azamuddin Omar yang turut berada dalam kereta dipandu Aminulrasyid semasa kejadian juga hadir ke mahkamah tetapi mereka tidak dibenarkan masuk berikutan galeri awam telah penuh.
Jenain yang hadir memakai kemeja lengan pendek dan berkopiah putih turut ditemani anggota keluarganya. - Malaysiakini
No comments:
Post a Comment