KOTA BHARU 17 Feb. - Kematian seorang lelaki dipercayai penyeludup beras, Said Mat Hassan, 56, di Tumpat semalam, disahkan berpunca akibat serangan jantung.Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, perkara itu disahkan oleh doktor yang menjalankan bedah siasat ke atas jenazah lelaki itu.
Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun masih meneruskan siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 37 Akta Senjata Api.
"Punca kematian disebabkan serangan sakit jantung. Setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat dan kita akan jalankan siasatan terperinci kejadian itu," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Semalam, Ahmad Nizamuddin Mohamad, 19, cedera setelah terkena dua das tembakan ketika dia didakwa cuba menyerang anggota Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) yang dikatakan membelasah Said yang juga bapa saudaranya.
Kejadian berlaku pukul 9.20 pagi ketika remaja itu datang ke Hospital Tumpat bersama sekumpulan rakannya lalu didakwa menyerang empat anggota UPP berpakaian preman.
Berikutan itu berlaku pergelutan dan bagi mempertahankan diri, anggota tersebut melepaskan dua das tembakan.
Sementara itu, Ahmad Nizamuddin ketika ditemui menafikan laporan dia cuba menyerang anggota UPP terbabit.
Remaja itu sebaliknya mendakwa, ketika kejadian dia berada berhampiran pintu pagar HT dan melihat anggota UPP dibelasah oleh penduduk kampung yang berang dengan tindakan mereka memukul arwah bapa saudaranya.
Ahmad Nizamuddin mendakwa, sebelum kejadian, dia melihat sebuah kenderaan UPP memotong motosikalnya dan menahan kereta milik arwah bapa saudaranya di Kampung Tin, Tumpat.
Katanya, dia ternampak anggota UPP membuka pintu kereta dan terus menendang bapa saudaranya yang berada di tempat duduk sebelah pemandu.
"Mereka kemudian menarik arwah keluar kerana disyaki menyeludup beras. Saya cuba membantu, namun salah seorang anggota UPP tersebut mengarahkan saya meninggalkan tempat tersebut.
"Saya pulang ke rumah dan memberitahu ahli keluarga lain.Tidak lama selepas itu, saya menerima panggilan telefon menyatakan dia meninggal," katanya.
Sebaik mendengar berita itu, dia dan penduduk kampung bergegas ke hospital dan semasa hendak keluar, mereka ternampak tiga anggota UPP sedang minum di sebuah kedai di luar hospital.
"Orang kampung terus mengejar mereka. Salah seorang daripada mereka melepaskan tembakan amaran ke udara, dua lagi melarikan diri," dakwanya.
Ahmad Nizamuddin mendakwa, dia tidak menyertai kumpulan penduduk itu kerana baru sembuh daripada kecederaan pada bahagian kaki kanannya akibat kemalangan empat bulan lalu.
"Tiba-tiba saya terdengar bunyi tembakan dan kemudian terasa sakit pada bahagian perut dan dada. Selepas itu, saya lihat banyak darah keluar sebelum seorang rakan memapah masuk ke hospital," dakwanya. - Utusan
* Macam-macam alasan polis. Isu ini boleh terbela jika dipolitikkan...
No comments:
Post a Comment