KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan memutuskan untuk membawa keluar pelajar-pelajar Malaysia dari Mesir menerusi laut dan udara berikutan pergolakan di negara itu yang semakin meruncing.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah mendapat laporan daripada delegasi Malaysia ke sana yang diketuai Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay dan turut disertai Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Sahlan Ismail.
“Beberapa langkah segera akan diambil untuk membawa keluar pelajar-pelajar kita dari Mesir,” katanya kepada Bernama di sini malam tadi.
Antara langkah berkenaan ialah meminta kapal Bunga Mas 5, iaitu sebuah kapal serbaguna yang dikawal oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang bertugas di Teluk Aden, untuk belayar ke Pelabuhan Adabiyah di selatan Kaherah bagi membawa keluar pelajar-pelajar berkenaan.
“Kapal itu dijangka tiba di Pelabuhan Adabiah pada 5 Februari. Ia dapat memuatkan kira-kira 500 pelajar kita,” katanya.
Najib juga berkata bahawa beliau sudah berunding dengan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman untuk meminta syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia untuk melakukan penerbangan khas ke Kaherah untuk membawa keluar pelajar-pelajar Malaysia.
“Mereka (MAS dan AirAsia) akan memaklumkan kepada saya esok (hari ini) mengenai kemungkinan menggunakan pesawat mereka untuk tugas itu,” katanya. - Kosmo
No comments:
Post a Comment