19 February 2011

Isteri bekas Presiden Taiwan ditahan di rumah

TAICHUNG 18 Feb. - Pendakwa raya hari ini berkata, bekas wanita pertama Taiwan, Wu Shu-chen tidak akan dipenjarakan kerana didapati terlalu uzur tetapi sebaliknya akan dikenakan tahanan di rumah.

Isteri kepada bekas Presiden Chen Shui-bian itu dibawa ke sebuah hospital penjara di Taichung, tengah Taiwan awal hari ini untuk menjalani penilaian perubatan bagi menentukan sama ada dia cukup sihat untuk menjalani hukuman penjara 17 tahun dan enam bulan kerana kesalahan rasuah.

Doktor di sana memutuskan, keadaan di dalam penjara boleh membahayakan nyawa Shu-chen yang lumpuh separuh badan itu.

Wanita itu lumpuh dari paras pinggang sejak dilanggar lori dalam kemalangan pada 1985.

Shu-chen, 58, yang berkerusi roda tiba di hospital penjara tersebut dengan kawalan ketat, disambut oleh ratusan penyokongnya yang berteriak 'A-Chen tidak bersalah'.

Keluarga Shu-chen menuntut kerajaan mematuhi undang-undang yang menetapkan bahawa sesebuah penjara boleh menolak mana-mana banduan yang tidak berupaya menjaga dirinya atas sebab-sebab kesihatan.

"Saya menggesa pihak berkuasa supaya tidak melakukan sesuatu yang cuai sehingga menyebabkan tragedi yang tidak boleh lagi ditebus," kata anak lelaki Shu-chen, Chen Chih-chung di luar hospital.

Bekas Presiden, Chen Shui-bian sedang menjalani hukuman penjara untuk tempoh yang sama di sebuah penjara di utara Taiwan kerana dua sabitan kesalahan rasuah berhubung kes-kes sama yang membabitkan isterinya.

Pasangan itu juga dibicarakan berhubung beberapa lagi tuduhan rasuah berpunca daripada tempoh Shui-bian menjadi Presiden Taiwan dari 2000 hingga 2008.

Bekas Presiden itu mendakwa, tindakan undang-undang ke atasnya adalah perbuatan membalas dendam yang dilakukan oleh kerajaan sekarang yang pro-Beijing, kerana sewaktu beliau berkuasa, beliau mengambil pendirian menyokong kemerdekaan Taiwan. - AP/AFP

No comments:

Post a Comment