10 February 2011

Hari Kekasih: Pemuda DAP bantah idea Nasrudin

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Sayap Pemuda DAP membantah cadangan Ketua Pemuda PAS pusat Nasrudin Hasan at-Tantawi yang mahu melancarkan kempen membendung aktiviti tidak sihat pada sambutan Hari Kekasih, Isnin ini.

Ketuanya Anthony Loke (gambar) menegaskan parti itu tidak bersetuju sama sekali pendekatan yang diambil Nasrudin untuk melakukan “pemeriksaan tidak bermoral” terhadap pasangan pada sambutan Hari Kekasih.

“Ia melampaui kuasa ahli Pemuda PAS untuk melakukan penguatkuasaan sedemikian dan kempen itu tidak pernah dibincangkan dengan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pemuda DAP.

“Ketika mesyuarat pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat, Nasrudin tidak pernah membangkitkan isu ini dan ia boleh memberi kesan kepada Pakatan Rakyat terutamanya negeri-negeri pimpinan Pakatan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Loke, tindakan Pemuda PAS mengarahkan pihak berkuasa tempatan bekerjasama dengan jabatan agama di empat negeri Pakatan Rakyat menunjukkan sikap tidak menghormati kerajaan negeri.

“Pemuda PAS tidak mempunyai kuasa untuk memberikan sebarang arahan kepada kerajaan negeri.

“Pemuda PAS kena sedar Pakatan Rakyat terdiri daripada tiga parti politik yang mana sebarang keputusan harus dibuat dalam mesyuarat kerajaan negeri,” katanya.

Ahli Parlimen Rasah itu berkata tindakan Nasrudin berbuat demikian akan membahayakan Pakatan Rakyat.

Nasrudin dilaporkan berkata telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan di Kedah, Kelantan dan Selangor untuk bekerjasama dengan polis dan Rela bagi membendung aktiviti tidak bermoral itu.

Katanya, Pemuda PAS akan bekerjasama dengan jabatan agama setiap negeri untuk memantau sambutan Hari Kekasih.

Beliau berkata langkah itu diambil sebagai satu percubaan untuk membendung gaya hidup tidak sihat dan menyumbang kepada dosa.

Bagaimanapun, cadangan Nasrudin itu ditolak pemimpin PAS Selangor dengan menyifatkan ia hanya pandangan peribadi beliau sahaja. - TheMalaysianInsider

* Tindakan mempertahankan maksiat oleh DAP mengundang bahaya kepada Pakatan Rakyat dan negara Malaysia yang bakal menjadi sebuah negara Islam...

No comments:

Post a Comment