17 February 2011

Hanya mahu menang pilihan raya

KUALA LUMPUR 16 Feb. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tujuan hidup Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hanyalah untuk memenangi pilihan raya dan kemudian menjadi pemerintah bersama DAP serta Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Katanya, Nik Abdul Aziz secara terbuka sanggup mengkafirkan orang Islam UMNO, dalam masa sama bersedia bekerjasama dengan syaitan menjayakan perjuangannya.

Beliau berkata, Menteri Besar Kelantan itu juga sanggup bekerjasama dengan pihak yang menolak perjuangannya untuk mendirikan negara Islam ala Pas di samping mempertahankan pendapat tokoh bukan Islam supaya umat Islam melonggarkan pegangan mereka terhadap ajaran Islam.

‘‘Harapan Nik Aziz ialah dengan melakukan semua ini orang bukan Islam di Malaysia akan sokong partinya di dalam pilihan raya. Bukan Islam yang diutamakan, bukan mengabdikan diri kepada Allah tetapi kemenangan dalam pilihan raya.

‘‘Orang UMNO beragama Islam. Walaupun bagi Nik Abdul Aziz mereka bukan Islam kerana tidak sokong Pas namun dunia mengiktiraf bahawa orang Melayu termasuk ahli UMNO dan ahli Pas juga adalah orang Islam,’’ ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian di dalam entri terbarunya bertajuk ‘Jawapan Kepada Nik Aziz’ di blognya http://chedet.co.cc/chedetblog hari ini.

Dr. Mahathir berkata, UMNO tidak pernah mendakwa hanya ahli parti itu sahaja yang Islam atau dengan mengundi UMNO menjadi Islam, seterusnya membawa ke syurga.

Berhubung isu nasionalisme seperti dibangkitkan oleh Mursyidul Am Pas itu, Dr. Mahathir berkata, terselamatnya banyak negara Islam yang dahulu dijajah adalah hasil daripada perjuangan nasionalis Islam.

Beliau berkata, perjuangan nasionalis terbabit adalah kerana mereka terlalu sayang dan setia kepada negara.

‘‘Hakikatnya mereka (orang lain) tidak berjuang untuk negara Malaysia dan agama Islam di sini tetapi yang berjuang untuk membebaskan negara kita dengan agama Islam di sini ialah nasionalis Islam Melayu.

‘‘Sebenarnya tujuan hidup nasionalis Islam Melayu ini adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT iaitu dengan cara membuat ibadah, memelihara orang Islam dan agama Islam bukan sahaja di Malaysia tetapi di mana sahaja orang Islam ditindas. Tuhan sahaja yang akan menilai pengabdian nasionalis Melayu Islam dan bukannya Nik Abdul Aziz,’’ katanya.

Dr. Mahathir dalam pada itu turut mempersoalkan kewibawaan Nik Abdul Aziz kerana hanya berjuang di Malaysia dan tidak di seluruh dunia Islam yang pada hari ini menghadapi pelbagai jenis penindasan serta tekanan.

‘‘Walaupun Nik Abdul Aziz mendakwa beliau berjuang untuk Islam tetapi dengan mengehadkan perjuangannya kepada negara ini dia juga adalah nasionalis sama seperti nasionalis dalam UMNO. Jika orang UMNO jahil kerana nasionalisme mereka, Nik Abdul Aziz juga jahil kerana sebab yang sama,’’ katanya lagi.

Mengenai dakwaan Nik Abdul Azizi bahawa UMNO menghapuskan tulisan Jawi sehingga umat Islam tidak boleh membaca al-Quran, beliau berkata, bukankah kerajaan UMNO yang mengadakan sekolah agama, mata pelajaran agama Islam menggunakan tulisan Jawi.

‘‘Mengapa Harakah menggunakan tulisan Rumi? Bagaimanakah terdapat lebih ramai yang mempelajari agama sehingga ke peringkat universiti jika generasi ini buta al-Quran, tidak boleh baca Jawi,’’ katanya.

Dr. Mahathir di dalam blognya turut mengingatkan Mursyidul Am Pas itu juga akan berdiri di hadapan Allah satu hari nanti dan segala pertuturannya dan perbuatannya ketika di dunia akan diadili.

‘‘Di akhirat nanti lidah, tangan dan kaki Nik Abdul Aziz akan menjadi saksi. Bukan Nik Abdul Aziz yang akan mengadili saya atau sesiapapun dan bukan juga Nik Abdul Aziz mengadili dirinya sendiri,’’ ujar Dr. Mahathir.

Mengenai peringatan Nik Abdul Aziz bahawa beliau akan berdiri di hadapan Allah Dr. Mahathir berkata, sedikit sebanyak ia membuktikan keangkuhannya.

‘‘Seolah-olah saya tidak tahu akan agama saya. Saya juga beriman dengan hakikat bahawa setiap apa yang dipertuturkan dan diperbuat di dunia ini akan diadili di akhirat nanti.

‘‘Akhir kata saya akui pengetahuan agama Nik Abdul Aziz dalam tetapi alangkah baiknya jika beliau berhenti daripada menyalahguna dan menyalah tafsir Islam demi kepentingan politik diri sendiri. Tidak ada sesiapa yang dapat lari daripada hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah SWT,’’ katanya lagi.

Beliau seterusnya meminta Nik Abdul Aziz bertakwa kepada Allah SWT dan menghentikan perbuatan mengeliru umat Islam di negara ini semata-mata ingin menang dalam pilihan raya. - Utusan

* Mahathir islamik?

No comments:

Post a Comment