12 February 2011

Ex-gratia RM2j: Mahkamah perintah bahagi ikut faraid

KUALA LUMPUR 11 Feb. - Mahkamah Rayuan Syariah di sini hari ini mengisytiharkan wang ex-gratia RM2 juta yang diberikan oleh kerajaan kepada seorang daripada enam hakim yang dipecat dalam krisis kehakiman 20 tahun lalu, sebagai harta pusaka dan wajib dibahagikan kepada ahli waris mengikut faraid.

Panel tiga hakim mahkamah itu yang diketuai oleh Tan Sri Ibrahim Lembut memutuskan demikian ketika mendengar rayuan dua anak bekas Hakim Mahkamah Agung, Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh, Wan Shahriman Wan Suleiman dan abangnya Wan Baharuddin.

Dalam keputusan itu, Ibrahim yang bersidang bersama Hakim Datuk Mohd. Yusuf Che Teh dan Hakim Datuk Aidi Mokhtar sekaligus membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang sebelum ini memutuskan bahawa pemberian ex-gratia itu sebagai hibah (pemberian) kerajaan kepada balu allahyarham.

Kedua-dua plaintif yang diwakili peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain memfailkan permohonan tersebut dengan menamakan ibu tiri mereka, Siti Nurhayati Mohd. Daud sebagai defendan.

Mereka adalah anak hasil perkongsian hidup Wan Suleiman dengan bekas isterinya, Zaiton Mohd. Din sebelum mereka berpisah dan perkahwinan Allahyarham dengan Siti Nurhayati tidak dikurniakan cahayamata.

Plaintif adalah ahli waris yang sah berkata, bayaran ex-gratia tersebut untuk maksud sumbangan yang diberikan oleh kerajaan dan menjadi harta pusaka wajib.

Namun malangnya, menurut plaintif, sehingga ke hari ini mereka tidak pernah dihubungi oleh defendan mahupun wakilnya bagi urusan pentadbiran pembahagian harta pusaka tersebut. - Utusan

No comments:

Post a Comment