21 February 2011

Calon pilihan raya kampus UM bukan kes culik, kata polis

Masturah Abu Bakar ketika ditemui pemberita di Universiti Malaya petang tadi. KUALA LUMPUR, 21 Feb – Kehilangan calon pilihan raya kampus Universiti Malaya (UM) Masturah Abu Bakar, 22, kelmarin dan ditemui awal pagi ini bukan kes culik, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah hari ini.

Zulkifli berkata polis tidak mengesan unsur jenayah dalam kes kehilangan pelajar itu dan ia hanya diklasifikasikan sebagai orang yang hilang dan bukannya diculik.

Beliau berkata demikian bagi menjelas dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa Masturah telah diculik.

Pelajar itu yang dilaporkan hilang sejak petang kelmarin ditemui selamat di sebuah masjid di Bangi, awal pagi ini.

Dipetik Bernama, Zulkifli berkata calon pro-Mahasiswa itu ditemui di sebuah masjid di Bangi kira-kira pukul 1.30 pagi ini oleh saudara-maranya yang menjalankan gerakan mencari mangsa sejak kelmarin.

Bagiamanpun, katanya, pelajar dan anggota keluarganya setakat ini masih belum memberikan keterangan kepada polis berhubung kehilangan pelajar itu.

“Setakat ini mereka masih belum memberi kerjasama kepada kita. Keterangan itu penting untuk kita mengetahui apa sebenarnya berlaku dan sebab apa dia hilang dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini.

Masturah sebelum ini dilaporkan hilang ketika berkempen di Blok E, Pangsapuri Pantai Permai, Pantai Dalam yang menjadi tempat penginapan luar pelajar UM pada kira-kira pukul 5 petang Sabtu lepas.

Rakannya yang membuat laporan polis pada pukul 12.20 pagi Ahad bahawa Masturah telah tidak dapat dikesan setelah pergi membeli nilai kredit telefon.

Ketika diminta mengulas kemungkinan kehilangan pelajar itu ada kaitan dengan ugutan yang diterimanya dalam khidmat pesanan ringkas (SMS), Zulkifli berkata pelajar itu perlu membuat laporan polis mengenai ugutan yang diterimanya bagi memudahkan polis membuat siasatan.

Pilihan raya kampus itu yang berlangsung hari ini menyaksikan 43 kerusi MPP UM dipertandingkan pada sesi 2010/2011 yang merangkumi sembilan kerusi umum, 32 kerusi fakulti dan dua kerusi siswazah. - TMI

No comments:

Post a Comment