25 February 2011

Bekas pegawai bank ditahan

KUALA LUMPUR 24 Feb. – Polis menahan dua suspek lelaki, seorang daripadanya bekas pegawai bank yang terlibat dalam kes penipuan pinjaman bank sebanyak RM19 juta, kononnya untuk projek penyelengaraan pesawat MiG-29N milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Kedua-dua mereka yang berusia lingkungan 40-an itu ditahan beberapa hari selepas polis menerima laporan daripada sebuah bank tempatan minggu lalu berkaitan penipuan pinjaman itu.

Sumber berkata, selain bekas pegawai bank terbabit, seorang lagi suspek yang ditahan merupakan suspek utama dalam kes itu.

“Selepas pihak bank membuat laporan, polis telah menjalankan siasatan dan berjaya menahan kedua-dua suspek beberapa hari yang lalu.

“Kedua-dua mereka masih ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan Malaysia dalam laporan eksklusif pada 17 Februari lalu mendedahkan, sebuah bank di ibu negara kerugian RM19 juta setelah menyerahkan wang pinjaman kepada dua syarikat yang mendakwa mendapat projek penyelenggaraan pesawat TUDM.

Dua syarikat tersebut sebelum ini mengemukakan permohonan kepada bank berkenaan untuk mendapatkan pinjaman korporat bagi membolehkan mereka membeli alat-alat ganti pesawat itu.

Bank tersebut meluluskan pinjaman itu setelah yakin dengan maklumat dan dokumen yang ditunjukkan oleh syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, pihak bank menyedari penipuan itu apabila gagal mengesan premis yang didakwa pejabat syarikat terbabit kerana ia tidak wujud, malah individu yang berurusan melakukan pinjaman juga gagal dihubungi.

Mengulas lanjut perkembangan kes tersebut, sumber berkata, kedua-dua suspek dipercayai berkomplot menipu bank itu pada tahun 2006.

Difahamkan, semua dokumen untuk urusan permohonan bagi mendapatkan pinjaman disediakan oleh suspek utama.

Suspek melalui rakannya bekas pegawai bank berjaya mendapatkan kepercayaan penyelia bank terbabit yang kemudian meluluskan pinjaman RM19 juta itu.

Penipuan tersebut pada mulanya tidak disedari oleh pihak bank kerana suspek tidak pernah gagal membayar semula pinjaman sehinggalah berhenti berbuat demikian baru-baru ini.

“Suspek dipercayai menggunakan wang RM19 juta yang diperoleh sebagai ‘modal pusingan’ untuk membayar balik pinjaman.

“Apabila dia berhenti membuat pembayaran, pihak bank mula mencarinya namun gagal, malah baru menyedari syarikat yang didakwa milik suspek sebenarnya tidak wujud,” katanya.

Beliau berkata, sebaik sahaja penipuan itu terbongkar, bank terbabit segera membuat laporan polis sehingga tertangkapnya suspek baru-baru ini. - Utusan

No comments:

Post a Comment