Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata beliau setakat ini masih belum menerima makluman rasmi mengenai pengosongan kerusi DUN Pelabuhan Klang.
Sehubungan itu juga, Wan Ahmad berkata isu berkaitan kekosongan kerusi berkenaan masih di peringkat "urusan di antara speaker DUN dan ADUN tersebut".
Wan Ahmad berkata demikian ketika mengulas tindakan speaker DUN Selangor Datuk Teng Chang Khim mengisytiharkan kekosongan kerusi berkenaan semalam.
Teng ketika membuat pengumuman itu berkata, tindakan itu dibuat berikutan wakil rakyat berkenaan Badrul Hisham Abdullah gagal menghadiri sidang DUN selama lebih setengah tahun.
Teng juga berkata Badrul Hisham mengakui ketidakhadirannya dan telah memohon cuti dalam sepucuk surat kepada beliau.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, beliau difahamkan terdapat laporan yang menyatakan ADUN berkenaan telah menafikan dakwaan berkenaanmenghantar surat memohon cuti kepada Teng.
"Apa pun, itu adalah urusan antara speaker dan YB Badrul (Hisham Abdullah). Itu urusan dia lah.
"SPR akan bercakap dan bermesyuarat bila kita terima hitam putih pemakluman rasmi daripada speaker.
"Selepas itu baru kita bermesyuarat menentukan, betul ke kerusi itu kosong, atau ada pilihan raya kecil (atau tidak)...baru kita akan bercakap. Selain itu, ia adalah urusan speaker dengan wakil rakyat berkenaan.
"Jadi kita tengok perkembangan selanjutnya," katanya dalam satu sidang media di bangunan Majlis Daerah Labis hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata walaupun Teng mempunyai hak untuk menghantar pemakluman tersebut, tetapi SPR tetap akan meneliti notis tersebut.
Tambahnya, SPR masih belum menerima notis pemakluman itu kekosongan kerusi berkenaan sehingga jam 9 pagi ini.
Dalam perkembangan lain, Wan Ahmad juga berkata sebanyak enam borang pencalonan untuk bertanding kerusi pilihan raya DUN Tenang telah dijual termasuk di beli oleh dua parti yang bertanding. - Malaysiakini
No comments:
Post a Comment