22 January 2011

Shahrizat: Cikgu Mala jadi calon PAS hasil perjuangan Umno

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menegaskan sayap itu akan memberikan “sokongan 110 peratus” kepada calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azahar Ibrahim dalam pilihan raya kecil kerusi Tenang yang kempennya bermula hari ini.

Dengan itu Shahrizat mengetepikan dakwaan bahawa Wanita Umno Labis menolak pemilihan Mohd Azahar sebagai calon BN.

Sebelum ini, Shahrizat meminta supaya kepimpinan tertinggi BN memilih calon Wanita dalam pilihan raya kecil itu yang akan diadakan pada 30 Januari ini.

Beliau juga berkata, pemilihan Normala Sudirman, 38, sebagai calon PAS-Pakatan Rakyat adalah hasil perjuangan Wanita Umno selama ini.

“Saya nak kata sebenarnya apa yang berlaku di pembangkang (pemilihan wanita) adalah hasil perjuangan Wanita Umno selama ini.

“Dulu PAS tidak benarkan wanita bertanding, kalau pergi ke pasaraya juga minta asing lelaki dan wanita, jadi apabila PAS memilih wanita ia adalah satu pengiktirafan kepada perjuangan Wanita Umno selama ini,” katanya ketika ditemui di proses penamaan calon DUN Tenang di pejabat Majlis Daerah Labis di sini.

Penamaan calon diadakan pagi tadi.

“Saya nak maklumkan sebagai Ketua Wanita Umno, saya minta kepimpinan tertinggi supaya calon wanita dipertimbangkan (sebagai calon) dan saya akan terus meminta.

“Kalau bukan pada pilihan raya kecil ini, mungkin dalam pilihan raya umum nanti, saya akan minta supaya wanita dipilih sebagai calon.

“Jadi di DUN Tenang, kita bukan hanya memberikan sokongan 100 peratus tetapi 110 peratus kepada calon BN,” katanya.

Dalam laporan The Malaysian Insider pagi ini menyebut Wanita Umno Labis menafikan dakwaan bahawa sayap itu tidak menyokong pemilihan Mohd Azahar sebagai calon BN.

Ketua Wanita Umno Labis Haslinda Salleh berkata, pihaknya setuju dan akur dengan keputusan yang dibuat kepimpinan Umno dalam memilih calon terbaik untuk memenangi pilihan raya kecil itu.

Umno-BN meletakkan Mohd Azahar, bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit manakala PAS-Pakatan diwakili oleh Normala, Ketua Muslimat PAS.

Tambah Shahrizat, Wanita Umno memainkan peranan besar dalam memilih Mohd Azahar sebagai calon BN.

“Wanita Umno adalah tulang belakang jentera BN, ketika memilih calon BN Wanita Umno memberikan sokongan besar.

“Kita beri sokongan dan tiada masalah, kita akur dengan keputusan yang dibuat parti,” katanya.

Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha dari Umno-BN pada 17 Disember lepas.

Allahyarham Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang pada pilihan raya umum ke-12 dengan menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.

Kawasan itu mempunyai tiga penempatan Felda dengan pengundi dianggarkan lebih 3,000 orang.

Kerusi DUN Tenang mempunyai 14,753 pemilih berdaftar termasuk 18 pemilih pos.

* Dia pun gagal letakkan calon wanita...

No comments:

Post a Comment