21 January 2011

Rasuah: Lans Koperal dipenjara, denda RM15,000

KUALA LUMPUR - Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dipenjara sebulan dan didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah atas tuduhan memberi suapan RM3,000 kepada seorang kontraktor rakyat Indonesia bagi memujuk seorang saksi supaya tidak menghadiri perbicaraan kes rasuah itu.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat menjatuhi hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh, Mohd. Rahizan Mohd. Ashri, 40, di akhir kes pembelaan.

Beliau turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman mulai hari ini dan sekiranya tertuduh gagal membayar denda, dia akan dipenjara sebulan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan mengekalkan jaminan sebanyak RM3,000.

Mohd. Rahizan, yang kini digantung tugasnya, didakwa memberi suapan wang tunai RM3,000 kepada Sadali Suan melalui seorang jurukamera, Ruslan Bacika sebagai dorongan untuk Sadali memberitahu warga Indonesia, Sirat iaitu pengadu bagi satu lagi kes membabitkan tertuduh di Mahkamah Sesyen Jenayah 3 di sini, supaya tidak menghadiri perbicaraan di mahkamah itu pada 17 Januari 2007 di Jalan Delima di sini, antara pukul 11 pagi dan 12 tengah hari, pada 15 Jan 2007. - Bernama

No comments:

Post a Comment