21 January 2011

Rakyat S'gor berkumpul ikrar sokong Sultan, MB

Lebih 100 orang hari ini berhimpun di luar perkarangan Masjid Diraja Sultan Suleiman, Kampung Raja, Klang selepas selesai sembahyang Jumaat bagi menyatakan sokongan dan taat setia kepada sultan Selangor, menteri besar dan pentadbiran Pakatan Rakyat.

Sambil melaungkan "Daulat Tuanku", "Hidup Rakyat" dan "Hidup Pakatan" , mereka menyatakan sokongan terbuka kepada Sultan Selangor Sultan dan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Kumpulan tersebut merancang untuk menyerahkan ikrar taat setia kepada sultan Selangor dan memorandum menyatakan sokongan mereka dan menolak campur tangan pihak luar ke atas pentadbiran Selangor kepada baginda di Istana Shah Alam di Klang yang terletak kira-kira empat kilometer dari masjid berkenaan.

Namun begitu, ketika mereka cuba berarak, mereka dihalang oleh kira-kira 50 anggota polis yang telah berkawal dan membuat sekatan.

Akibatnya berlaku tolak menolak.

Kedua-dua pihak kemudiannya berunding dan pihak polis bersetuju membenarkan 10 orang perwakilan kumpulan itu ke Istana Klang.

Memorandum rakyat Selangor ini bertujuan menyatakan ikrar taat setia dan kasih sayang rakyat kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ia juga bagi menyatakan bahawa rakyat Selangor berusaha sedaya upaya mempertahankan institusi raja selaras dengan prinsip Raja Berpelembagaan.

Antara mereka yang dibenarkan terus ke istana adalah ADUN Meru, Dr Abd Rani Osman dan ketua pemuda PKR, Samsul Iskandar Md Akin. Mereka disertai oleh ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang menunggu di pagar istana.

Tiada tangkapan dilaporkan dan kumpulan itu bersurai kira-kira sejam kemudian. - Malaysiakini

No comments:

Post a Comment