SEREMBAN - Suami pramugari Malaysia Airlines (MAS) yang mati akibat terjatuh dari tingkat 9, Hotel Radisson, Amsterdam, Belanda, minggu lepas, percaya kematian isterinya disebabkan sindrom lesu jet (jet lag).
Suami mendiang, Cheng Yin Chet, 39, mengesyaki isterinya mengalami keadaan itu semasa mendiang sedang menikmati keindahan bandar Amsterdam dari kawasan terbuka di tingkat 9, hotel tersebut di antara 12 tengah malam hingga 6 pagi (waktu Belanda).
"Sebelum isteri saya ditemui mati, dia ada beritahu saya melalui sistem pesanan ringkas (SMS) bahawa dia mengalami pening kepala atau jet lag,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Seremban 2 di sini hari ini selepas tidak berpuas hati dengan pelbagai spekulasi media yang menyelubungi kematian isterinya.
Menurut kamus perubatan, jet lag merupakan satu keadaan yang biasa dialami dalam satu penerbangan yang jauh yang merentasi satu zon masa ke zon masa yang lain dan akan menyebabkan individu tersebut mengalami pening serta hilang keseimbangan badan.
Sehubungan itu, Cheng yang merupakan seorang ahli perniagaan dan mempunyai seorang anak lelaki berusia 16 tahun hasil dari perkahwinan itu, menafikan isterinya membunuh diri. - Bernama
No comments:
Post a Comment