SEREMBAN - Pihak polis meminta kerjasama orang ramai untuk memulangkan semula duit syiling yang jatuh dari sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kemalangan di Kilometer 244 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, berhampiran susur keluar Pedas-Linggi, dekat sini, petang Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin (gambar) berkata, mereka boleh berbuat demikian secara sukarela di mana-mana balai polis berhampiran.
"Semua individu terbabit perlu sedar, duit syiling yang mereka kutip di sekitar lokasi kejadian bukan milik mereka.
"Sehubungan itu, saya nasihatkan mereka agar menyerahkan duit syiling kepada polis supaya boleh dikembalikan kepada pemiliknya,” katanya, di sini, semalam.
Menurutnya, pihak polis boleh mengenal pasti individu terbabit menerusi gambar dirakam media ketika kejadian.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, duit syiling pelbagai denominasi dianggarkan bernilai RM74,000 bertaburan di sekitar lokasi kemalangan selepas sebuah Toyota Hilux yang membawa muatan itu dikatakan dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta mewah jenis BMW.
Sekurang-kurangnya 20 pengguna lebuh raya dilihat mengutip duit syiling yang bertaburan, malah ada yang sanggup menggadai nyawa melakukan perbuatan itu di tengah lebuh raya yang sibuk dengan kenderaan.
Tindakan mereka itu turut mengakibatkan kesesakan lalu-lintas sepanjang kira-kira tiga kilometer di kedua-dua arah lebuh raya menghala ke lokasi kejadian. - Sinar Harian
No comments:
Post a Comment