17 January 2011

Nyamuk boleh hancurkan Anwar - Ummi Hafilda

KUALA LUMPUR 15 Jan. - "Jangan terlalu angkuh. Belajarlah daripada sejarah pada zaman Nabi Ibrahim.

"Raja Namrud yang angkuh mati hanya kerana gigitan seekor nyamuk. Jadi, jangan pandang remeh soal nyamuk kerana ia boleh menghancurkan."

Demikian tegas Ummi Hafilda Ali berhubung kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menganggap cabarannya untuk berdebat tentang kebenaran kes salah laku seks dengan Ketua Pembangkang itu sebagai 'hanya soal nyamuk'.

Ummi Hafilda dalam reaksi segeranya itu berkata, tidak mustahil 'seekor nyamuk ini' boleh menyebabkan karier politik Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu musnah.

Malah tegasnya, beliau sudah bersedia untuk berhadapan dengan Anwar untuk berdebat mahupun di muka pengadilan.

Justeru beliau menganggap kenyataan Anwar itu sebagai satu tindakan pengecut bagi mereka yang gerun untuk berhadapan dengan kebenaran.

"Nampak sangat dia gerun dengan saya. Nampak sangat dia tak berani. Kalau dia tak nak berdebat pun tak apa. Cuma, saya nak tengok sejauh mana dia menghadapi perkara ini sebab saya tidak cakap kosong. Saya ada bukti di tangan.

"Saya akan kemukakan kepada mahkamah dan dia sendiri akan terkejut dengan bukti-bukti yang saya akan bentangkan kelak," katanya kepada Mingguan Malaysia hari ini.

Khamis lalu, Ummi Hafilda mencabar Anwar untuk berdebat dengannya terlebih dahulu berhubung kebenaran kes salah laku seks beliau sebelum mencabar pihak lain.

Katanya, Anwar tidak perlu berdebat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tentang Pelan 100 Hari yang dicadangkan pakatan pembangkang kerana ia tidak memberi sebarang faedah.

Malah beliau yang pernah menjadi saksi penting kes liwat Anwar pada 1998 turut mencabar Anwar dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali melakukan sumpah laknat bagi membuktikan mereka tidak terbabit dalam segala kes salah laku seks yang didedahkannya ketika itu.

Sebelum ini, Ummi Hafilda mahu memfailkan saman berjumlah RM700 juta terhadap Anwar, Azmin, Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, peguam Karpal Singh dan parti Pas kerana salah laku mereka terhadapnya pada 1997.

Menurutnya, sindiran Anwar adalah tidak berasas dan menganggap Ketua Pembangkang itu sebagai 'raja putar alam nombor satu' dunia.

Ini kerana kata beliau, Anwar hanya pandai berkata-kata tetapi tidak membuat tindakan sepatutnya seperti melakukan sumpah laknat sekiranya yakin dirinya berada di landasan yang benar.

"Kalau tak mahu berdebat, saya cabar (Anwar) masuk masjid dan buat sumpah laknat. Saya cabar Azmin, Shamsidar (Shamsidar Taharin, isteri Azmin) dan Wan Azizah sekali.

"Kenapa nak takut sangat bersumpah kalau rasa tidak bersalah. Pada saya mereka ini munafik dan perosak bumi yang wajib ditentang habis-habisan," katanya yang turut bersumpah bahawa beliau tidak pernah menerima bayaran atau upah daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad atau kerajaan ekoran pendedahan tentang salah laku Anwar ketika itu.

Rakaman sumpah yang dibuatnya pada sidang akhbar Khamis lalu turut dimuat turun dalam blognya, http://www.srikandi7.blogspot.com.

"Sumpah bukan perkara suka-suka. Saya buat kerana saya yakin saya benar. Kalau nak kata saya nyamuk, dia nyamuk aedes yang hanya tahu gigit orang itu, gigit orang ini dan merosakkan ummah. Kerana lakonan dan kemunafikannya, orang Pas pun tak boleh buka minda, buka mata," katanya.

Mengenai kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengatakan 'itu nyamuk saja yang dilepaskan, jadi biarlah nyamuk yang jawab' terhadap saman yang bakal difailkan, Ummi Hafilda berkata, beliau tidak takut untuk memfailkan saman itu.

"Mereka orang pengecut yang memporak-porandakan ummah. Saya orang yang berprinsip. Saya tidak takut dengan tindakan saya," jelasnya.

* Nyamuk jenis ini hanya muncul bila dekat pilihanraya. Nama dia 'Nyamuk Duit'

No comments:

Post a Comment