SEOUL 21 Jan. – Komando tentera laut Korea Selatan hari ini menggempur sebuah kapal yang dirampas oleh lanun Somalia di Lautan Hindi dan menyelamatkan semua anak kapal serta membunuh enam lanun, kata pegawai tentera.
Jurucakap Ketua Turus Bersama, Kolonel Lee Bung-Woo berkata, pasukan khas mereka menyerbu kapal Samho Jewelry pagi ini dan membebaskan semua tebusan.
‘‘Semasa operasi itu, pasukan kami membunuh beberapa lanun Somalia dan semua tebusan disahkan selamat,’’ katanya.
Bung-Woo berkata, operasi menyelamat itu berlaku kira-kira 1,300 kilometer dari timur laut Somalia.
‘‘Tekong kapal pengangkut bahan kimia Korea Selatan itu cedera ditembak di perut ketika serbuan tetapi dia kini berada dalam keadaan stabil,’’ ujarnya.
Serbuan ke atas kapal pengangkut bahan kimia itu dibantu oleh kapal tentera laut Oman.
Lanun Somalia itu merampas kapal seberat 11,500 tan dan menahan 21 anak kapalnya yang terdiri daripada lapan warga Korea Selatan, dua rakyat Indonesia dan 11 orang dari Myanmar di Laut Arab pada 15 Januari lalu ketika ia dalam perjalanan ke Sri Lanka dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Seoul mengarahkan satu kapal pemusnah yang bertugas di Teluk Aden untuk menjejaki kapal pengangkut tersebut dan Presiden Lee Myung-Bak menggesa semua pendekatan diambil bagi menyelamatkan anak kapal.
Operasi menyelamat itu dilihat berjaya meningkatkan sokongan moral kepada tentera Korea Selatan selepas dikritik hebat kerana lewat memberi maklum balas terhadap serangan Korea Utara di sebuah pulau di sempadan negara itu November lalu.
Myung-Bak turut memuji tentera negara itu di atas kejayaan operasi menyelamat itu. – AFP
No comments:
Post a Comment