20 January 2011

Empat tentera maut, enam cedera di selatan Thailand

BANGKOK: Empat anggota tentera terbunuh manakala enam yang lain cedera apabila sekumpulan militan bersenjata menyerang dan melarikan sejumlah senjata api di Kem Pasukan Petugas Tentera di daerah Rangae di Narathiwat, malam tadi.

Ketua Angkatan Tentera Wilayah Keempat, Leftenan Jeneral Udomchai Thammasarorath, berkata mereka yang terbunuh dikenali sebagai Kapten Krit Kampheerayan, Sarjan Tewalak Tema, Koperal Abdulloh Kayee dan Prebet Pravit Chuklin.

Katanya, kesemua enam yang cedera dirawat di Hospital Ratchanakarin Narathiwat dengan tiga daripadanya parah.

Beliau berkata, serangan militan di kem tentera itu berlaku pada kira-kira
jam 8 malam ketika pasukan itu sedang menikmati makan malam.

"Kami masih memeriksa jumlah sebenar senjata api yang hilang dalam kejadian
itu," katanya.
Beliau berkata, gerakan ketenteraan dijalankan untuk memburu suspek serta
mendapatkan semula senjata api yang dilarikan itu.

Sementara itu, media tempatan melaporkan penempatan semula pasukan itu perlu
dibuat melalui udara kerana kumpulan militan menyekat jalan ke kem
berkenaan dengan menumbangkan pokok dan menabur paku semasa serangan berlaku.

Kira-kira 4,000 orang terbunuh sejak kumpulan yang disyaki pemisah
menjalankan semula gerakan bersenjata bagi menuntut kemerdekaan untuk tiga
wilayah iaitu Narathiwat, Patani dan Yala -- tujuh tahun lalu.

Kem Pasukan Petugas Tentera itu terletak kira-kira satu kilometer dari
batalion tentera yang diserang pada 4 Januari 2004 oleh kira-kira 30 pengganas yang menyebabkan empat anggota tentera terbunuh dan melarikan kira-kira 400 senjata api termasuk M-16, dan pistol.

Menurut pangkalan data polis, berikutan berlakunya pemberontakan semula di
selatan pada 2005, kini terdapat 2,000 militan, 5,000 penyokong tempatan, 300
pemimpin strategik dan 300 pemimpin psikologi.

Pada Selasa, kerajaan melanjutkan perintah darurat di tiga wilayah itu untuk
tempoh tiga bulan lagi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment