22 January 2011

Cikgu Mala sedia bawa suara rakyat ke Dun Johor

LABIS, 22 Jan: Calon PAS pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, Normala Sudirman berazam untuk membawa suara wanita ke Dun Johor dan mengajak para guru untuk membuat perubahan.

Normala yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Mala yakin pengundi di Tenang sudah berani membuat perubahan dengan memberi undi kepadanya seterusnya menambahkan kerusi Pakatan Rakyat di Dun Johor.

"Saya yakin pengundi mampu dan berani membuat anjakan paradigma dan sebenarnya pencalonan ini satu pengiktirafan yang diberikan kepada golongan wanita khususnya dan mewakili seluruh golongan pendidik di Malaysia.

"30 Januari ini pengundi di Dun Tenang akan membuat satu kejutan dan perubahan demi kelangsungan masa depan anak bangsa dan membawa permasalahan mereka ke Dun Johor dan menjadikan tujuh kerusi untuk Pakatan Rakyat di Dun Johor," kata beliau pada sidang media selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Majlis Daerah Labis, dekat sini hari ini.

Normala juga berkata, beliau sudah bersedia untuk memikul amanah dalam memberikan khidmat kepada rakyat khusunya di Dun Tenang.

"Alhamdulillah, Allah bagi satu keberanian untuk saya membuat satu perubahan kerana saya telah iltizamkan dalam diri saya perjuangan ini untuk mencari keredhaan Allah," katanya tenang.

Justeru, bekas guru itu menyerahkan kepada pengundi untuk membuat pilihan terbaik pada 30 Januari nanti.

"Saya sangat optimis dan berkeyakinan mandat itu akan diberikan dan saya percaya pengundi di Dun Tenang mampu membuat pilihan terbaik.

"Pengundi sudah bijak untuk membuat pilihan dan saya serahkan kepada mereka pada 30 Januari ini," katanya.

Turut bersama pada sidang media itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Harakahdaily

No comments:

Post a Comment