Mayat M Krishnan, mangsa yang mati ketika dalam tahanan polis pada 7 Januari, hari ini dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) pada jam 10.19 pagi bagi bedah siasatan kedua.
Bedah siasat itu akan dijalankan oleh ketua Unit Patologi, hospital berkenaan Dr K Mathiharen.
Ia dijangka dumulakan sebaik sahaja balu mangsa, P Revathi mengesahkan mayat itu adalah suaminya dan diikuti taklimat ringkas oleh Dr Mathiharen.
Hadir sama pada sesi bedah siasat itu adalah peguam yang mewakili keluarga mangsa - N Surendran dan Gurmit Singh Hullon.
Krishnan, 37, seorang juruelektrik, ditangkap polis pada 2 Januari lalu di sebuah pangsapuri di Taman Miharja, Cheras bersama empat yang lain atas dakwaan memiliki dadah.
Namun isterinya, Revathi, 37, seorang suri rumah tangga menafikan suaminya terbit dengan kegiatan dadah.
Krishnan, bapa kepada enam orang anak dalam lingkungan lapan dan 17 tahun dijumpai mati pada 7 Januari lalu di lokap balai polis Bukit Jalil.
Dua hari lalu, polis dan pejabat peguam negara membenarkan permohonan keluarga mangsa supaya bedah siasat kedua dijalankan dan kebenaran itu dirakamkan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah.
Laporan bedah siasat pertama yang dijalankan di HUKM menyatakan mangsa mati akibat ulser di perut.
Namun, keluarga Krishnan mendakwa terdapat kesan lebam di seluruh badan mangsa dan terdapat luka di bahagian kanan abdomen dan bahagian kanan matanya. - Malaysiakini
No comments:
Post a Comment