16 January 2011

Bapa kesal biar aktiviti tanpa pengawasan guru

TANAH MERAH – Keluarga pelajar Tingkatan Satu yang dilaporkan cedera 10 Januari lalu, mengakui kejadian menimpa Nur Arfah Mohd Nordin, 13, ketika ‘Minggu Suai Kenal’ bukan satu kemalangan.

Bapa pelajar itu, Mohd Nordin Ismail, 44, berkata, dia cuma kesal dengan pihak sekolah yang membiarkan aktiviti dijalankan tanpa pengawasan guru.

Menurutnya, dia sebenarnya bukan mahu memperbesarkan isu itu, cuma mahu pihak sekolah prihatin dengan apa yang menimpa anaknya.

“Saya tak berniat memperbesarkan isu ini, cuma mahu pihak sekolah memperbaiki kelemahan yang ada.

“Saya sebelum ini berasa kesal disebabkan pihak sekolah lambat bertindak, itu sahaja,” katanya kepada Sinar Harian, petang semalam.

Mohd Nordin berkata, demi masa depan anak sulungnya, Noorazulaiza, 15, akan meneruskan pengajian di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) itu, sementara persekolahan Nur Arfah masih dalam perbincangan.

“Nur Arfah masih mendapatkan rawatan, kami sedang berbincang dan menasihatinya sama ada mahu meneruskan pelajaran di sekolah sama atau sebaliknya.

“Semunya akan ditentukan kemudian,” katanya yang turut ditemani isteri, Maimun Mohd Yusof, 39, dan dua anak lelakinya.

Khamis lalu, akhbar ini menyiarkan berita kecederaan dialami Nur Arfah ketika mengikuti ‘Minggu Suai Kenal’ di sebuah sekolah SBP dekat sini, berikutan itu pelajar terbabit mengalami sakit tekak dan leher, sukar berpaling, benjol dahi serta lebam paha kanan.

Dia kemudiannya mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tengku Anis sebelum mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Daerah Tanah Merah dan ditahan di wad sehari. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment