28 January 2011

11 rakyat Malaysia ditahan di UK

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Seramai 11 rakyat Malaysia yang bekerja secara haram di United Kingdom (UK) ditahan dalam operasi penguatkuasaan oleh Agensi Sempadan negara itu baru-baru ini.

Pejabat Suruhanjaya Tinggi British ke Malaysia memberitahu, operasi penguatkuasaan tersebut telah dijalankan ketika musim sejuk.

"Kesemua mereka telah dipindahkan dan tidak dibenarkan memasuki UK untuk tempoh 10 tahun," kata kenyataan itu di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, operasi penguatkuasaan tersebut dijalankan secara menyeluruh terhadap rakyat asing yang bekerja secara haram, salah laku visa dan tinggal terlalu lama di sana.

Penahanan itu dibuat di restoran sekitar UK, di mana mereka bekerja secara haram dan tinggal terlalu lama di negara tersebut.

Sementara itu, kenyataan tersebut memetik Menteri Imigresen UK, Damian Green sebagai berkata, kerajaan dan Agensi Sempadan UK mula menjalankan penguatkuasaan tersebut sepanjang musim sejuk.

"Kemasukan pekerja secara haram telah menjejaskan perkhidmatan awam, memberi tekanan terhadap keselamatan penduduk setempat dan perniagaan haram yang semakin berleluasa," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Simon Featherstone memberitahu, pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan Malaysia bagi meningkatkan kesedaran mengenai perkara tersebut dan mencari jalan penyelesaiannya.

"Penahanan warga Malaysia yang bekerja secara haram di UK masih di tahap sederhana namun kami tetap menggalakkan mereka mematuhi peraturan ketika memasuki UK.

"Undang-undang di UK membenarkan mereka menetap di negara itu selama enam bulan tanpa visa kerana ia berdasarkan tahap kepercayaan dan sikap yang baik warga Malaysia," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment