07 December 2010

WikiLeaks tukar pelayan hos

STOCKHOLM 6 Dis. - Laman web aktivis Internet, WikiLeaks kini menggunakan khidmat sebuah syarikat pelayan hos dari Sweden setelah menghadapi serangan siber bertalu-talu serta penarikan pelayan hos yang berpangkalan Amerika Syarikat (AS).

Pusat pelayan dan hos Bahnhof terletak di bawah tanah kalis nuklear era Perang Dingin itu merupakan bekas tempat perlindungan yang dibuka semula pada 11 September 2008.

Ia menempatkan pejabat yang berada 30 meter di bawah tanah, mempunyai dua enjin kapal selam lama buatan Jerman yang kini dijadikan generator sokongan kecemasan.

Ia kelihatan seperti babak filem James Bond dengan pintu masuk keluli dan kaca ke bilik pelayan bawah tanah Vita Bergen, tengah Stockholm yang digunakan Wikileaks.

"Perniagaan yang kami lakukan mempunyai kawalan keselamatan ultra. Kami memerlukan fasiliti berteknologi tinggi untuk melindungi peralatan dan juga menjadikan klien kami selamat," kata ketua eksekutif Bahnhof, Jon Karlung.

Ini bukan kali pertama Wikileaks menggunakan syarikat ini untuk menempatkan datanya kerana sebelum ini maklumat rahsia mengenai Perang Iraq pada Ogos lalu.

Tidak seperti Amazon, PayPal dan DNS yang beribu pejabat di AS, Bahnhof akan terus menyokong Wikileaks selagi ia tidak melanggar undang-undang.

"Kami tidak menolak klien selagi tiada dakwaan perundangan ke atas mereka daripada pihak berkuasa dan pihak berkuasa Sweden, bukan AS atau senatornya," kata Karlung lagi.

Wikileaks berhadapan serangan siber bertubi-tubi sejak beberapa minggu lalu selepas mendedahkan lebih 250,000 kabel diplomatik sulit AS.

Ia menukar alamat kepada Wikileaks.ch daripada Wikileaks.org selepas DNS menarik balik sokongannya.

Menurut kenyataan terbaru Wikileaks, semua pihak akan mendapat akses kepada pendedahan dan dalam proses tersebut semua salinan maklumat yang pernah disiarkan akan disiarkan sekali lagi. - AGENSI

No comments:

Post a Comment