KUALA LUMPUR 30 Nov. – Pemilihan UMNO di peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi (MT) yang sepatutnya berlangsung tahun depan ditangguhkan selama 18 bulan.
Ketetapan itu dibuat oleh MT yang bermesyuarat malam ini dan diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, penangguhan berkenaan bukannya perkara luar biasa kerana ia dibenarkan perlembagaan parti selain pernah dilakukan beberapa kali sebelum ini.
Najib turut menafikan penangguhan itu mempunyai kaitan dengan pilihan raya umum sebaliknya menjelaskan ia bagi membolehkan seluruh perhatian serta tenaga pemimpin dan ahli UMNO terarah kepada usaha pemantapan parti
“Kita tidak mahu tahun depan dan berikutnya dijadikan medan pergelutan politik yang boleh timbulkan perbalahan dalam parti walaupun kita percaya ia boleh dibendung dan tidak berlaku keadaan tertekan sebagaimana parti politik lain.
“Kita nak UMNO tumpu kepada pemantapan dan pemulihan parti berdasarkan model baru politik,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat MT UMNO di Menara Dato’ Onn, di sini malam ini.
Sementara itu, Najib turut mengumumkan UMNO akan mewajibkan semua Ketua Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri peringkat cawangan menghadiri kursus khas bermula tahun depan.
Katanya, kursus berkenaan akan melibatkan lebih 50,000 pemimpin UMNO di peringkat akar umbi dan akan diadakan dalam masa beberapa bulan akan datang.
“Ini ekoran kenyataan saya sebelum ini bahawa kita akan terus melakukan perubahan berdasarkan model baru politik yang saya telah digariskan dengan tujuh prinsip.
“Ia adalah untuk menerangkan mengenai gagasan 1Malaysia dan bagaimana UMNO mendahulukan kepentingan serta kebajikan rakyat dan konsep pencapaian diutamakan dari sudut sistem penyampaian,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata mesyuarat MT turut mengambil maklum perkembangan semasa selain menerima laporan kejayaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan Parlimen Batu Sapi, baru-baru ini.
“Umum berpendapat perkembangan kini menjurus kepada keadaan yang lebih positif, ini mungkin disebabkan langkah-langkah yang diambil kerajaan menampakkan sedikit sebanyak kejayaan dan penambahan keyakinan rakyat.
“Ini diterjemahkan dalam keputusan pilihan raya kawasan tersebut dengan kemenangan dan majoriti yang bertambah, sehubungan itu proses memantapkan UMNO akan diteruskan dengan melakukan transformasi politik,” tegasnya. - Utusan
* Tanda besar pilihanraya dalam masa terdekat. Pakatan Rakyat perlu bersiap sedia untuk menyerang habis-habisan...
No comments:
Post a Comment