KUALA LUMPUR, 10 Dis: Pakatan Rakyat harus memberikan perhatian serius terhadap peranan blogger pro Pakatan dalam menyebarkan maklumat yang tepat berhubung Pakatan dan mendedahkan segala kepincangan yang berlaku dalam kerajaan Barisan Nasional (BN).
Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim berkata, Pakatan Rakyat harus mempersiapkan pasukan blogger agar lebih berstrategi dalam menyampaikan maklumat dan menjawab segala serangan BN terhadap Pakatan.
Persiapan ini juga, katanya harus dilakukan segera memandangkan terdapat jangkaan PRU akan diadakan tahun hadapan.
Blogger pro Pakatan mestilah digembleng tenaga untuk menjadi media alternatif bagi menjawab serangan BN kepada Pakatan.
"Disebabkan gendang pilihan raya telah dipalu oleh BN, usaha tersebut mestilah disegerakan," kata beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Perak.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar baru-baru ini bahawa kedudukan 100 blog politik Malaysia berdasarkan Alexa ranking menunjukkan senarai blogger pro kerajaan mendominasi kedudukan teratas blog-blog yang sering dikunjungi oleh pelayar internet.
Senarai ini menggambarkan blogger pro kerajaan kini berjaya mendominasi media baru dalam melancarkan serangan siber.
Khalil juga berkata, tidak dinafikan blogger pro kerajaan melancarkan serangan terhadap Pakatan secara tersusun dan berstrategi.
Justeru ujarnya, blogger pro Pakatan juga harus dibentuk dan disusun secara lebih teratur dan kukuh untuk membalas serangan itu.
"Saya dapati serangan blogger BN agak berstrategi dan semacam ada kesatuan dan perancangan yang rapi yang dilakukan oleh mereka.
"Kerana itu saya berpandangan usaha dari blogger pro Pakatan juga perlu dengan perencanaan dan strategi secara terancang bagi menawan BN," katanya yang juga Adun Titi Serong.
Tambahnya juga, peranan blogger juga jelas membantu kemenangan Pakatan Rakyat dalam PRU yang lepas terutamanya menarik minat golongan muda.
Ini juga kerana blogger Pakatan lebih beretika dalam membuat sebarang pendedahan dengan memberikan bukti dan fakta yang jelas, bukan hanya memfitnah.
"Saya melihat semasa PRU ke 12 media pro pembangkang berjaya menarik minat golongan pengundi muda untuk mendapatkan maklumat
"Apalagi segala pendedahan dari blogger Pakatan adalah dengan fakta dan bukan niat untuk memfitnah serta menjaga akhlak Islam.
Katanya lagi, jika Pakatan mengambil ringan usaha ini, tidak mustahil golongan muda beralih kepada BN.
"Jika kita lambat dan silap percaturan mungkin mengakibatkan pengundi yang datang dari kelompok yang mempercayai media ini akan memilih BN," katanya.
Harakahdaily
* Apa masalah Pakatan Rakyat ni. Susah sangatkah hendak wujudkan dana dan beri 'sumbangan' kepada blogger pakatan rakyat? Kalau ini pun tidak dapat dibuat, tak usah mimpi hendak tawan Putrajaya...
No comments:
Post a Comment