27 December 2010

Dua anggota polis ditahan bantu siasatan dakwaan salah guna kuasa

PETALING JAYA 26 Dis. - Polis hari ini menahan dua anggotanya yang berpangkat konstabel bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salahguna kuasa dan mencederakan seorang lelaki dalam satu sekatan jalan raya di Kota Damansara di sini pada 18 Disember lalu.

Penahanan dua anggota berusia 25 dan 27 tahun dari Balai Polis Damansara itu dibuat untuk siasatan dan tindakan selanjutnya akan diketahui selepas kertas siasatan diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP) esok.

Dalam kejadian itu, kedua-dua anggota tersebut didakwa mencederakan mangsa, Chia Buang Hing, 34, yang ditahan kerana gagal mempamerkan cukai jalan selain disyaki memiliki dadah dan parang.

Kedua-dua anggota polis itu didakwa mencederakan mangsa selain mencuri wang tunai sebanyak RM13,000 milik mangsa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, satu laporan polis berkaitan dakwaan mangsa yang bekerja sebagai peniaga bingkai lukisan dibuat pada 23 Disember lalu.

"Laporan berkenaan dibuat sehari selepas mangsa menjalani tahanan reman selama empat hari dan dibebaskan dengan jaminan polis," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini hari ini.

Menurut Tun Hisan, siasatan awal menunjukkan adalah wajar pihaknya menahan kedua-dua anggota terbabit supaya siasatan lebih telus dan adil dapat dilakukan.

"Polis telah merakamkan 20 percakapan anggota, pegawai polis dan orang awam. Pelbagai sudut siasatan dibuat termasuk enam anggota polis menghadiri kawad cam semalam.

"Mangsa turut dihantar ke hospital berhampiran untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan ujian x-ray selepas laporan dibuat. Polis sedang menunggu hasil siasatan pihak perubatan untuk tindakan selanjutnya.

"Saya berpuas hati dengan perjalanan siasatan yang dianggap telus termasuk meneliti keterangan percakapan, kewajaran kes dan berdasarkan bukti yang ada," katanya.

Menurut Tun Hisan, pihaknya memandang serius insiden berkenaan dan tidak akan melindungi mana-mana individu termasuk anggota polis sekiranya mereka didapati terlibat dalam kegiatan jenayah serta salah guna kuasa.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan dan Seksyen 379 kanun yang sama iaitu mencuri," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment