Tidak kurang 200 mahasiswa dari beberapa universiti sekitar Lembah Klang akan mengadakan perhimpunan aman di Masjid Putrajaya bagi membantah kenaikan harga bahan api dan gula selepas solat Jumaat hari ini.
Jurucakap kumpulan mahasiswa itu, Ahmad Syukri Kamarudin berkata semua mahasiswa diminta untuk berpakaian hitam sebagai tema bantahan mereka terhadap kenaikan 4 dalam 1, minggu lalu.
Katanya antara mahasiswa yang akan terbabit dengan bantahan hari ini adalah dari Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).
Menurut Ahmad Syukri, selain berhimpun, beberapa pemimpin pelajar akan menyampaikan ucapan sebelum mereka berarak untuk menyampaikan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Kemudian empat orang pelajar akan bertemu dengan wakil perdana menteri untuk menyerahkan memorandum itu. Wakil perdana menteri sedia menerimanya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.
Mahasiswa berbaju hitam itu juga akan membawa beberapa kain rentang dan poster bantahan berhubung kenaikan bahan api dan makanan itu.
Minggu lalu, kerajaan mengumumkan kenaikkan harga petrol RON95 sebanyak 5 sen menjadi RM1.90, diesel naik 5 sen menjadi RM1.80 sen, gas pula naik 5 sen menjadi RM1.90 sen sekilogram dan gula juga naik 20sen menjadi RM2.10 sen. Semua kenaikan itu dibuat di sebalik jaminan kerajaan bahawa tiada kenaikan harga untuk tahun ini. - Malaysiakini
No comments:
Post a Comment