PUTRAJAYA 9 Dis. – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi amaran martabat dan jawatan seseorang bukan jaminan mereka tidak akan diambil tindakan jika melakukan rasuah.
Tegas Perdana Menteri, ia merupakan satu kesedaran yang harus diterima sekali gus membuktikan semua individu di negara ini hanyalah rakyat biasa yang tertakluk kepada undang-undang.
“Ada pihak cuba melemparkan gosip-gosip liar dan mempolitikkan isu rasuah, namun tindakan yang telah kita ambil selama ini membuktikan kita tidak memilih bulu.
“Bagi pihak kerajaan, saya sendiri tidak pernah campur tangan dalam operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Tidak timbul soal cover-up (melindungi) sesuatu kes kerana SPRM perlu memberikan penjelasan kepada Lembaga Penilaian Operasi bagi aduan yang tidak diambil tindakan,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis Menandatangani Ikrar Memerangi Rasuah oleh Masyarakat Peniaga di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Dalam aspek ini, Najib berkata, kerajaan mempunyai keyakinan penuh kepada SPRM sebagai agensi bagi menangani gejala rasuah.
Kerajaan, kata beliau, memutuskan untuk mewujudkan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Panel Penilaian Operasi, Jawatankuasa Aduan dan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah bagi memantau dan menasihati SPRM.
“SPRM bertanggungjawab kepada kelima-lima Jawatankuasa ini serta perlu mengemukakan Laporan Tahunan kepada Parlimen, ini bagi memastikan operasi SPRM bebas, telus dan profesional.
“Jadi, saya harap mereka (yang lemparkan gosip liar) tidak teruskan perilaku ini sebaliknya mereka perlu konstruktif membantu SPRM dan bukannya lemparkan tohmahan seperti itu,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan yang diketuainya amat komited mahu memerangi rasuah.
“Menurut laporan ‘Doing Business 2011 oleh Bank Dunia’, Malaysia adalah negara ke-21 paling mudah untuk berurus niaga di peringkat global, kita telah naik dari kedudukan ke-23 dalam laporan 2010.
“Bagi World Competitiveness Scoreboard 2010, kita adalah negara ke-10 paling berdaya saing di dunia, kedudukan ini meningkat dari tangga ke-18 pada tahun sebelumnya.
“Kerajaan berharap pada tahun hadapan, negara kita akan menjadi antara lima negara yang paling berdaya saing,” katanya.
Perdana Menteri berkata, walaupun tatacara jenayah rasuah mengalami perubahan akibat perjalanan masa, kesan akhirnya masih tetap sama.
Kata beliau: “Ia adalah kanser yang berkeupayaan memusnahkan masyarakat, meranapkan negara dan meruntuhkan tamadun jika tidak ditangani secara serius.” - utusan
No comments:
Post a Comment