24 November 2010

Warga India dihukum gantung kerana edar ketamin

GEORGETOWN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang warga India manakala seorang lagi dijatuhi hukuman penjara dan denda selepas mereka didapati bersalah atas tuduhan mengedar dan memiliki ketamin.

Habeeb Nashtar Abdul Mutalif, 51, yang bekerja di sebuah restoran di Kuala Lumpur, didapati bersalah mengedar 12 kilogram ketamin dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati, manakala pekerja kilang M Sathianarayanan, 44, dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM100,000 kerana memiliki 11 kg ketamine.

Habeeb Nashtar, yang diwakili oleh V Jeevaratnam, didakwa melakukan kesalahan itu di Unit Pemeriksaan Khas Penumpang di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas kira-kira 10.50 malam pada 19 Mac tahun lalu. Dalam keputusannya, Pesuruhjaya Kehakiman Nurmala Salim, berkata pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Nurmala turut mempersoalkan keperluan untuk tertuduh melakukan perjalanan ke New Delhi, India, dengan berkata adalah tidak masuk akal untuk membelanjakan hampir RM2,500 hanya untuk pergi berdakwah di India sedangkan dia boleh berbuat demikian di negara ini.

"Tertuduh tidak tahu siapa yang akan menerima barangan itu apabila dia tiba di Pulau Pinang. Dia tidak mempunyai sebarang nombor telefon atau nama orang atau kedai kopi yang dikatakan sepatutnya menerima barangan itu. Dia sepatutnya tahu," katanya.

Beliau turut menolak hujah pembelaan bahawa tertuduh adalah pembawa barangan yang tidak bersalah, dengan mengatakan bahawa alasan itu tidak dapat diterima.

Sementara itu di mahkamah yang sama, Sathianarayanan, yang didakwa mengedar 11kg ketamine di Balai Ketibaan lapangan terbang itu pada 10 Mac tahun lalu dijatuhi hukuman maksimum penjara dan denda, mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sathianarayanan, yang diwakili oleh N. Selvarani, pada mulanya didakwa mengedar dadah, tetapi kemudian mengaku bersalah apabila tuduhan pindaan dibacakan kepadanya dalam bahasa Tamil dalam kes yang ditetapkan untuk perbicaraan hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Ariffin Hisham menjalankan pendakwaan bagi kedua-dua kes.-Bernama

No comments:

Post a Comment